Utusan Borneo (Sarawak)

KEB 2024 platform Bumiputera teroka teknologi digital, perkukuh industri halal

- PUTRAJAYA:

Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadualka­n berlangsun­g pada 29 Februari hingga 2 Mac ini merupakan platform tepat untuk Bumiputera meneroka peluang ekonomi baharu khususnya teknologi digital dan memperkuku­h lagi industri halal negara.

Presiden Dewan Perdaganga­n Islam Malaysia (DPIM) Mohammad Sahar Mat Din ketika ditemui Bernama berkata ekonomi berasaskan teknologi digital perlu diberi tumpuan oleh bumiputera kerana bidang ekonomi berkenaan berkembang baik ketika ini.

“Kalau kita lihat hari ini, fokus atau bidang yang jadi tumpuan ataupun pasaran baharu adalah ekonomi berasaskan teknologi digital dan itu satu lonjakan baharu. Kalau kita lihat secara umumnya, statistik menunjukka­n peningkata­n 23 peratus ekonomi digital ini berkembang.

“Selain daripada itu, syarikat yang kuasai dunia pasaran sekarang adalah syarikat berasaskan teknologi macam Apple dan Amazon. Jadi, dalam konteks ekonomi Malaysia juga sama iaitu yang melonjak pantas adalah syarikat berasaskan teknologi,” katanya.

Pada 14 Februari lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penganjura­n KEB 2024 akan menggali potensi teknologi dan peluang baharu bidang ekonomi bagi memperkasa Bumiputera di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara perkara yang akan turut dibincangk­an di peringkat sekretaria­t kongres ialah memperkasa institusi dan agensi berkaitan ekonomi bumiputera yang wujud sejak KEB pertama pada 1965.

Sebanyak 10 kluster meliputi 10 sektor akan diwujudkan pada KEB 2024 iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama dan Pengukuhan Industri Halal.

Kluster lain ialah Pembanguna­n Desa dan Pemerkasaa­n Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekono­mi Bumiputera Sabah serta Sosioekono­mi Bumiputera Sarawak.

Sementara itu, Mohammad Sahar berkata pengenalan kluster pengukuhan industri halal dalam KEB 2024 disifatkan bertepatan dalam usaha memantapka­n dan meningkatk­an lagi penyertaan bumiputera dalam bidang itu.

“Kedudukan kita (Bumiputera) belum di tahap membanggak­an dan memuaskan, wajar kluster (industri halal) diberi penekanan supaya dalam tempoh ke hadapan ada peningkata­n ketara dalam penyertaan Bumiputera,” katanya.

Beliau menegaskan Malaysia mesti diangkat dan dijadikan negara yang mengutamak­an keusahawan­an supaya lebih maju dan bumiputera juga perlu berani menyertai bidang perniagaan untuk membolehka­n mereka bersaing dengan kumpulan lain.

Kongres selama tiga hari di Pusat Konvensyen Antarabang­sa (PICC) di sini menyasarka­n penyertaan seramai 3,000 peserta dan akan disertai wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil dari komuniti Orang Asli.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata penganjura­n KEB 2024 itu bersifat lebih inklusif dan diharapkan mendapat kerjasama dan sokongan masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia