Utusan Borneo (Sarawak)

Hodgson letak jawatan sebagai pengurus Palace

-

Roy Hodgson meletak jawatan sebagai pengurus pasukan corot Liga Perdana, Crystal Palace kelmarin, hanya beberapa jam sebelum pertembung­an penting mereka dengan saingan zon penyingkir­an, Everton.

Bekas jurulatih England, Hodgson telah dikritik oleh penyokong Palace ketika kejatuhan kelab ke zon penyingkir­an.

Lelaki berusia 76 tahun itu dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaa­n pada Khamis selepas jatuh sakit, dengan sidang akhbar yang dijadualka­n sebelum perjalanan ke Goodison Park dibatalkan.

Palace telah tewas 10 daripada 16 perlawanan liga terakhir mereka dan berada di tangga ke-16 dalam carta liga, hanya lima mata di atas Everton, kumpulan keempat tercorot.

“Saya faham, memandangk­an keadaan terkini, mungkin bagus untuk kelab merancang lebih awal, dan oleh itu saya telah mengambil keputusan untuk menarik diri supaya kelab boleh meneruskan rancangan mereka untuk mendapatka­n pengurus baharu, seperti yang dirancang untuk musim panas,” kata Hodgson.

Pembantu Hodgson, Paddy McCarthy dan Ray Lewington bersedia untuk mengendali­kan pasukan untuk perlawanan Everton.

Bekas jurulatih Eintracht Frankfurt, Oliver Glasner, yang mengetuai kelab Jerman itu menjuarai Liga Europa pada 2022, menggantik­an Hodgson secara tetap.

Perlawanan terakhir Hodgson sebagai pembimbing Palace ialah semasa kekalahan 1-3 di tempat sendiri menentang Chelsea pada 12 Februari, kekalahan yang berlaku hanya beberapa hari selepas dimalukan 1-4 oleh musuh ketat Brighton.

Bekas pengurus Liverpool dan Inter Milan, Hodgson telah kembali untuk kali kedua bersama Palace tahun lalu selepas menguruska­n kelab London selatan itu dari 2017 hingga 2021.

“Kelab ini sangat istimewa dan sangat bermakna kepada saya dan telah memainkan peranan besar dalam kehidupan bola sepak saya,” kata Hodgson, yang kini sudah keluar dari hospital.

“Saya telah menikmati masa saya di sini sepanjang enam musim kerana ia memberi saya peluang untuk bekerja dengan pemain dan kakitangan berkelas atas, melakukan apa yang saya suka setiap hari.

“Saya ingin mengucapka­n terima kasih kepada Steve Parish dan rakan-rakan Amerikanya atas sokongan mereka. Terima kasih dan saya juga meluahkan penghormat­an kepada skuad pemain semasa yang telah bekerjasam­a.

“Saya yakin musim ini akan berakhir dengan baik dan saya mendoakan kejayaan pasukan pada minggu, bulan dan musim akan datang.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia