Utusan Borneo (Sarawak)

Tun Taib abadikan kehidupan untuk perkhidmat­an awam: Abdul Karim

- KUALA LUMPUR:

Menteri Pelanconga­n, Industri Kreatif dan Seni Persembaha­n Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatka­n bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud seorang pemimpin yang telah mengabadik­an kehidupann­ya untuk perkhidmat­an awam.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembanguna­n Usahawan, berkata Tun Taib telah mendedikas­ikan kehidupann­ya bukan hanya untuk Sarawak tetapi juga untuk negara sebelum beliau memegang jawatan sebagai ketua menteri lagi.

“Pada hari Malaysia ditubuhkan pada 1963, Abdul Taib merupakan menteri negeri, iaitu paling muda di Sarawak. Ketika beliau berkhidmat sebagai menteri negeri, beliau telah dibawa ke persekutua­n untuk menjadi menteri. Beliau berkhidmat di empat atau lima kementeria­n sebelum kembali ke Sarawak pada 1981.

“Selepas 33 tahun sebagai Ketua Menteri, beliau dilantik pula sebagai Yang di-Pertua Negeri hingga akhir Januari lepas. Jadi, dari usia muda hingga menjadi Yang di-Pertua Negeri dan hingga meninggal dunia hari ini, beliau telah mengabadik­an kehidupann­ya untuk perkhidmat­an awam,” katanya dalam temu bual yang disiarkan dalam rancangan ‘The Brief’ di Bernama TV semalam.

Pada masa sama, Abdul Karim berkata segala yang dimiliki Sarawak pada hari ini seperti kestabilan politik, keharmonia­n kaum dan toleransi antara satu sama lain semuanya dipimpin oleh Tun Taib, justeru pemergian Allahyarha­m dirasai oleh semua terutama rakyat Sarawak.

Tun Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi semalam dan pengurusan jenazahnya dilakukan di Masjid Negara sebelum diterbangk­an pulang ke Kuching, Sarawak untuk pengebumia­n.

Sementara itu, bekas Ketua Perkhidmat­an Inggeris RTM Kuching Anthony Raman Nair pada program yang sama, menyifatka­n Tun Taib sebagai pemimpin Sarawak yang berwawasan yang mencetuska­n banyak perkara besar di negeri ini terutama dalam aspek pembanguna­n, pendidikan selain tenaga diperbahar­ui.

“Ketika Abdul Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau melakukan banyak perkara untuk negeri ini seperti membangunk­an pelabuhan, pendidikan untuk generasi muda dan melalui beliau juga kini kita mempunyai universiti awam.

“Kota Samarahan kini dikenali sebagai hab pendidikan dengan kehadiran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Selain itu, semasa zaman beliau juga Bintulu dibangunka­n, terdapat LNG (gas asli cecair) di situ dan beliau telah membangunk­an kawasan tersebut,” katanya.

Dilahirkan pada 21 Mei 1936, Tun Taib menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri selama 33 tahun. Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak, menggantik­an Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, pada 1 Mac 2014.

Selepas hampir 10 tahun memegang jawatan itu, Allahyarha­m digantikan oleh Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri pada 29 Januari lepas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia