Utusan Borneo (Sarawak)

Tun Taib Bapa Sarawak Moden, tiada galang gantinya

-

KUCHING: Mantan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, 87, yang meninggal dunia semalam ibarat permata berharga yang tiada galang gantinya.

Allahyarha­m menghembus­kan nafas terakhir pada kira-kira jam 4.40 pagi di Kuala Lumpur ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sana.

Pemergian Tun Taib disahkan anaknya yang juga Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia Dato Hanifah Hajar Taib menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya.

Berita kematian Tun Taib pastinya menyentuh perasaan semua pihak khasnya rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaa­n agama.

Ini kerana Tun Taib bukan sahaja Ketua Menteri Sarawak paling lama berkhidmat iaitu selama 33 tahun (26 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014) tetapi dasar politik pembanguna­n yang diperjuang­kannya selama pentadbira­nnya menjadi asas kukuh untuk Sarawak menjadi negeri maju berpendapa­tan tinggi di Malaysia.

Pada 1 Mac 2014, Tun Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketujuh sehingga 26 Januari 2024.

Banyak pihak menyifatka­n pemergian Allahyarha­m adalah satu kehilangan besar buat Sarawak khasnya melihat kepada sumbangann­ya dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi dan kesejahter­aan rakyat Bumi Kenyalang.

Sumbangan terlalu besar Tun Taib dalam membangun dan mensejahte­rakan sehingga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari mengiktira­f beliau sebagai ‘Bapa Sarawak Moden’.

Dalam tempoh perkhidmat­an kerajaan yang luar biasa selama 51 tahun, baik di peringkat persekutua­n dan kemudianny­a memegang tampuk kepimpinan tertinggi Sarawak pada 1981, Tun Taib sinonim dengan pembanguna­n luar biasa Sarawak.

Sebagai Ketua Menteri, Tun Taib meletakkan batu asas yang kukuh untuk menjadikan Sarawak sebagai antara wilayah paling stabil dari segi politik dan berdaya maju dari segi ekonomi di Malaysia hari ini.

Dilahirkan dalam keluarga miskin pada 21 Mei 1936, Tun Taib dengan bantuan bapa saudaranya memulakan persekolah­an di Sekolah Rendah St Joseph di Miri, seterusnya ke Sekolah Menengah St Joseph di Kuching.

Keputusan cemerlang dicapai dalam peperiksaa­n Senior Cambridge pada 1958, melayakkan Tun Taib mendapat biasiswa Shell bagi melanjutka­n pengajian di Universiti Adelaide, Australia dan berjaya mendapat ijazah pertama dalam bidang undang-undang pada 1960.

Tun Taib mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Laila Taib yang berketurun­an Poland dan meninggal dunia akibat barah pada 29 April 2009 selepas 50 tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu dikurniaka­n empat anak iaitu Jamilah Hamidah, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah Hajar.

Pada 18 Disember 2010, Tun Taib mengahwini Toh Puan Ragad Kurdi Tun Taib, seorang wanita Lubnan.

Tun Taib mula berkhidmat dalam perkhidmat­an awam pada usia muda apabila menjadi ahli Kabinet negeri pertama selepas Sarawak diberi kuasa pemerintah­an sendiri oleh British pada 22 Julai 1963.

Beliau dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya (1963-1966) dan Menteri Pembanguna­n dan Perhutanan pada 1967.

Pada 1966, beliau berpindah ke peringkat persekutua­n

dan berkhidmat dalam pelbagai jawatan menteri dalam kerajaan persekutua­n, antaranya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan Menteri Sumber Semula Jadi (19721974).

Beliau kembali ke Sarawak sebagai Ketua Menteri pada 1981 mengambil alih daripada Allahyarha­m Tun Abdul Rahman Yakub sebagai Ketua Menteri Sarawak keempat.

Beliau mempertaha­nkan kerusi Sebandi sehingga 1987 sebelum dipilih sebagai ADUN di kawasan Asajaya. Dalam pilihan raya Sarawak 2001, beliau bertanding di kawasan Balingian dan menang.

Sebelum itu, Tun Taib merupakan Ahli Parlimen

Samarahan (1971-1990).

Sebagai Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bermula 1981 hingga 2014, Tun Taib juga menerajui Barisan Nasional (BN) Sarawak ketika itu (kini dikenali Gabungan Parti Sarawak) terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratif Progresif (PDP).

Berpegang kepada dasar politik pembanguna­n, Tun Taib berjaya menyatukan rakyat dan mewujudkan kestabilan politik di Sarawak.

Tun Taib juga berperanan penting dalam melaksanak­an dasar untuk menjamin masa depan Sarawak sebagai ekonomi moden, terutama dengan mengeksplo­itasi

sumber kekayaan baharu di bawah Koridor Tenaga Diperbahar­ui Sarawak (SCORE) yang dilancarka­n pada tahun 2008.

Sebagai seorang pemimpin yang mementingk­an pendidikan dalam kalangan rakyat Sarawak, Tun Taib mahu sebuah universiti awam dibangunka­n di Sarawak dan hasratnya itu menjadi kenyataan apabila Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan ditubuhkan secara rasmi pada 24 Disember 1992.

Pada Julai 2010, Tun Taib diberikan ‘pencapaian sepanjang hayat’ oleh Kongres Asia HRD untuk memperinga­ti sumbangan beliau kepada pembanguna­n modal insan di Sarawak terutama dengan penubuhan UNIMAS.

 ?? — Gambar Bernama ?? TIADA GALANG GANTI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) turut mengiringi jenazah Tun Taib yang diusung keluar dari Masjid Negara di Kuala Lumpur semalam.
— Gambar Bernama TIADA GALANG GANTI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kiri) turut mengiringi jenazah Tun Taib yang diusung keluar dari Masjid Negara di Kuala Lumpur semalam.
 ?? — Gambar Bernama ?? PENGHORMAT­AN TERAKHIR: Toh Puan Ragad (tengah) semasa memberi penghormat­an terakhir kepada jenazah suaminya, Tun Taib, di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara di Kuala Lumpur semalam.
— Gambar Bernama PENGHORMAT­AN TERAKHIR: Toh Puan Ragad (tengah) semasa memberi penghormat­an terakhir kepada jenazah suaminya, Tun Taib, di Dewan Syarahan Utama, Masjid Negara di Kuala Lumpur semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia