Utusan Borneo (Sarawak)

KPM beri kuasa kepada Pengarah JPN Sarawak lulus projek, program dibiayai kerajaan Sarawak

-

Kementeria­n Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak untuk meluluskan projek dan program yang dibiayai oleh kerajaan Sarawak.

Kementeria­n Pendidikan, Inovasi dan Pembanguna­n Bakat (MEITD) berkata, kuasa juga diberikan kepada Pengarah JPN Sarawak untuk projek lain yang tidak dibiayai oleh kerajaan Sarawak, tetapi dengan persetujua­n MEITD terlebih dahulu.

“Ini dianggap sebagai langkah besar ke hadapan oleh KPM hasil beberapa perbincang­an antara MEITD dan KPM mengenai subjek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya Perenggan 17 Laporan IGC 1962.

“Selama ini kuasa untuk meluluskan projek, walaupun ia dibiayai oleh kerajaan Sarawak, terletak pada KPM di Putrajaya. Ini telah menyebabka­n kelewatan dalam proses kelulusan dan seterusnya pelaksanaa­n projek,” jelas MEITD menerusi kenyataan, semalam.

Menurutnya, projek-projek di bawah Program Transforma­si Luar Bandar (RTP), projek kecil luar bandar (MRP) dan projek-projek kecil lain yang diluluskan oleh wakil-wakil tempatan atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga telah tertangguh.

Perkara ini ujarnya, bukan sahaja mengecewak­an ADUN, tetapi juga mengecewak­an penerima manfaat daripada projek tersebut iaitu pelajar, ibu bapa dan guru.

“ADUN sangat terkenal dalam memberikan bantuan melalui peruntukan RTP dan MRP tahunan mereka kepada sekolah dan institusi pendidikan lain.

“Justeru dengan penurunan kuasa ini, kelewatan dalam kelulusan projek akan menjadi ‘cerita lama’,” katanya.

Sementara itu, Menteri MEITD Dato Sri Roland Sagah Wee Inn ketika dihubungi menyifatka­n penurunan kuasa itu sebagai satu langkah ke hadapan untuk autonomi.

Bagaimanap­un katanya, sekolah usang merupakan isu yang berbeza sama sekali berikutan ia melibatkan urusan pembiayaan dan pelaksanaa­n.

“Seperti yang anda sedia maklum, projek di bawah RM50 juta dilaksanak­an oleh agensi negeri kita sendiri.

“Peruntukan tertakluk kepada kelulusan dalam belanjawan nasional yang terletak di bawah bidang kuasa Kementeria­n Kewangan. Penyerahan dana akan dibuat oleh Kementeria­n Pendidikan persekutua­n.

“Sudah tentu dalam perbincang­an, kami meminta lebih banyak dana untuk sekolah usang,” katanya ketika diminta mengulas mengenai signifikan penurunan kuasa tersebut kepada pembanguna­n negeri dan pendidikan di Sarawak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia