Samarahan dan Serian kini diisytihar kawasan jangkitan rabies
Bahagian Samarahan dan Serian telah diisytiharkan sebagai Bahagian Jangkitan Rabies berikutan kes positif rabies membabitkan haiwan dikesan di kedua-dua bahagian itu, baru-baru ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kawasan yang diisytiharkan sebelum ini masih kekal sebagai kawasan jangkitan rabies ialah bahagian Kuching dan Bintulu.
“Pengisytiharan ini adalah diperlukan bagi memastikan lebih banyak usaha diambil oleh bahagian-bahagian berkenaan dan untuk tahun ini, sebanyak 20 haiwan daripada 133 sampel telah diuji positif rabies.
“Sebanyak 10 kes wabak rabies telah dikesan di Kuching, manakala tiga kes dikesan di Padawan, satu kes masing-masing di Samarahan, Bau dan Tebedu serta dua kes masing-masing di Bintulu dan Sebauh,” jelasnya dalam satu kenyataan media kelmarin.
Menurutnya, sejak tahun 2017, jumlah anjing yang divaksin oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) dan Pasukan ‘Immune Belt Enforcement Team’ di seluruh Sarawak adalah 247,267 ekor.
“Bagi tahun 2023, pasukan itu telah berjaya memvaksin 37,254 daripada 40,000 ekor anjing yang disasarkan manakala sasaran untuk tahun 2024 adalah untuk memberi vaksin kepada 50,000 ekor anjing.
“JPVS dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak akan terus mempergiatkan program vaksinasi anti-rabies di seluruh Sarawak dan pembuangan anjing liar yang disasarkan akan dijalankan oleh majlis tempatan masing-masing di seluruh negeri untuk mengurangkan populasi anjing liar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Rundi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan pergi ke klinik berhampiran untuk rawatan awal jika digigit oleh haiwan.
Beliau juga menyaran pemilik anjing agar bertanggungjawab memastikan haiwan kesayangan mereka divaksin dengan vaksin antirabies yang diwajibkan di bawah Seksyen 40, Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999.
“Mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun hingga RM1,000. Pemilik anjing diminta mendapatkan lesen memelihara dan cip mikro daripada pihak berkuasa tempatan masing-masing.
“Pemilik anjing yang sengaja membiarkan haiwan peliharaan mereka berkeliaran boleh didenda tidak melebihi RM2,500 di bawah Seksyen 37, VPHO 1999,” tegasnya.