Utusan Borneo (Sarawak)

Swiatek berjaya melangkah ke suku akhir WTA Terbuka Dubai

-

Iga Swiatek menebus kekalahann­ya kepada Elina Svitolina di Wimbledon tahun lepas apabila menang bergaya 6-1 dan 6-4 pada Rabu untuk melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan WTA Terbuka Dubai di sini pada Rabu.

Pemain nombor satu dunia dari Poland, yang memenangi kejuaraan ketiga berturut-turut di Doha minggu lepas, mengambil masa satu jam dan 23 minit untuk menewaskan Svitolina, yang kembali beraksi minggu ini selepas pulih dari kecederaan yang dialami di Terbuka Australia.

“Saya benar-benar mahu memperbaik­i fokus saya berbanding semalam,” kata Swiatek, yang berdepan perlawanan sukar ketika menewaskan Sloane Stephens di pusingan kedua.

“Saya gembira kerana saya tidak hilang fokus dan saya ingat apa yang harus saya lakukan dan ia berhasil. Jadi saya agak tenang hari ini berbanding semalam.”

Naib juara di sini setahun yang lalu, Swiatek akan menentang Zheng Qinwen dari China, yang menewaskan Anastasia Potapova 6-3 dan 6-2.

Pada perlawanan lain, juara Terbuka Amerika (AS), Coco Gauff, menamatkan 11 kemenangan berturut-turut Karolina Pliskova apabila menang 2-6, 6-4 dan 6-3 untuk melangkah ke peringkat suku akhir yang kedua berturut-turut di sini.

Gauff bertengkar agak lama dengan umpire perlawanan, Pierre Bachi pada lewat set kedua tetapi ia tidak menjejaska­n fokusnya untuk menempah pertemuan suku akhir menentang Anna Kalinskaya.

Pilihan keempat kejohanan, Elena Rybakina, juga dipaksa bekerja-keras sebelum menewaskan Magdalena Frech 7-6(7/5), 3-6 dan 6-4.

Rybakina melangkah ke peringkat suku akhir untuk kali kelima dari enam kejohanan musim ini.

Juara Wimbledon 2022 itu meraih 10 kemenangan dari 11 perlawanan sepanjang tiga bandar raya venue berbeza dalam 14 hari terakhir – satu tempoh termasuk kejuaraan di Abu Dhabi dan naib juara di Doha.

“Saya gembira kerana saya masih memenangi perlawanan. Tetapi saya boleh melihat dari tahap permainan di mana semuanya semakin menurun. Saya tidak tahu berapa banyak saya boleh berusaha dan juga pulih dalam masa setengah hari,” kata Rybakina, yang menempah pertemuan suku akhir menentang Jasmine Paolini. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia