Utusan Borneo (Sarawak)

Insentif legakan penjawat awam, pesara kerajaan

-

BUKIT MERTAJAM: Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmat­an Awam RM2,000 dan RM1,000 yang diberikan kepada semua penjawat awam dan pesara kerajaan hari ini, nyata melegakan golongan itu lebih-lebih lagi bagi mereka yang akan menyambut Ramadan tidak lama lagi.

Pegawai sebuah agensi kerajaan Zamrud Laili Mohd Mustap, 36, berkata beliau amat bersyukur atas keprihatin­an kerajaan MADANI kerana tidak menyangka akan menerima penambahan jumlah bantuan sehingga RM2,000.

“Dalam situasi sekarang, kita perlulah berbelanja secara bijak dan memandangk­an saya ibu kepada tiga anak yang bersekolah, saya akan menggunaka­n pemberian insentif itu sebagai persediaan sesi persekolah­an 2024, selain Ramadan tidak lama lagi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Shahril Ahmad, 39, pula berkata bantuan sedemikian sememangny­a amat dinantinan­tikan bagi meringanka­n beban perbelanja­an harian.

Selain itu katanya inisiatif berkenaan menunjukka­n kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cakna terhadap keperluan rakyat dalam mendepani masalah ekonomi dan berusaha mencari penyelesai­an membantu mereka.

“Jumlah yang diterima tahun ini adalah paling tinggi sepanjang 11 tahun saya berkhidmat sebagai penjawat awam tetapi dalam bergembira kita perlulah juga beringat dan tidak boleh terlalu ghairah berbelanja.

“Bulan depan umat Islam akan mula berpuasa dan selepas itu Hari Raya Aidilfitri pula, yang ada anak belanja sekolah lagi, jadi sudah tentu perlukan banyak belanja terutama mereka yang mempunyai keluarga besar.

“Macam saya walaupun belum dikurniaka­n cahaya mata tetapi ada perbelanja­an lain yang perlu diuruskan dan dengan bantuan ini bolehlah saya tarik nafas lega sekurang-kurangnya ringan sikit beban,” katanya.

Bagi pesara kerajaan pula, pemberian insentif RM1,000 menunjukka­n bahawa kerajaan MADANI hari ini tidak meminggirk­an nasib mereka yang pernah mengerah keringat berkhidmat untuk negara sebelum ini.

Sambil menzahirka­n ucapan terima kasih, Che Norsiah Othman, 61, berkata bantuan tersebut akan dimanfaatk­an sebaik mungkin dalam perbelanja­an harian.

“Saya masih menerima pencen bulanan jadi selain belanja, mungkin saya akan simpan sedikit wang ini untuk kegunaan waktu kecemasan,” katanya yang sebelum ini berkhidmat sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah.

Pada pembentang­an Belanjawan 2024 tahun lepas, kerajaan bersetuju untuk memberi Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmat­an Awam sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk penjawat awam lantikan kontrak.

Bayaran insentif RM1,000 turut disalurkan kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata serta seluruh anggota beruniform.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia