Utusan Borneo (Sarawak)

Cuaca panas: Sedia laksana pemadaman kebakaran berskala besar, pembenihan awan

-

Jabatan dan agensi berkaitan diminta bersedia melaksana pemadaman kebakaran berskala besar dan operasi pembenihan awan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino ketika ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestaria­n Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara itu dipersetuj­ui dalam Mesyuarat Jawatankua­sa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2024 dipengerus­ikannya di sini kelmarin.

“Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanak­an pemadaman kebakaran berskala besar secara sertamerta dan operasi pembenihan awan sekiranya diperlukan, tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.

“Kerajaan juga sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino,” katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, beliau berkata kementeria­n, jabatan, agensi dan kerajaan negeri juga perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara.

Maklumat boleh dicapai melalui aplikasi myCuaca dan laman web rasmi Jabatan Meteorolog­i Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Kementeria­n, jabatan dan agensi berkaitan akan mengambil tindakan sebagaiman­a yang digariskan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan berdasarka­n Tahap Amaran dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU),” katanya.

Malaysia kini sedang berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac. Taburan hujan akan berkuranga­n yang menyebabka­n keadaan cuaca panas dan kering dalam fasa ini.

Dalam masa yang sama, fenomena El Nino dengan intensiti kuat sedang melanda dunia dijangka akan menyebabka­n suhu maksimum harian negara lebih tinggi dan cuaca lebih panas serta kering berbanding biasa.

Fenomena ini dijangka berlarutan sehingga suku kedua 2024 dan peralihan El Nino Southern Oscillatio­n (ENSO) kepada neutral dijangka berlaku sekitar April hingga Jun ini.

Nik Nazmi berkata Kementeria­n Sumber Asli dan Kelestaria­n Alam (NRES) dengan kerjasama kementeria­n, jabatan, agensi dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan secara pembabitan semua agensi kerajaan berkaitan bagi membantera­s kebakaran tapak pelupusan sampah haram.

NRES juga akan menambah baik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menyebabka­n jerebu tempatan, menjejaska­n kualiti udara negara serta kesihatan awam.

Berdasarka­n rekod bagi tempoh 1 Jan hingga 19 Feb lepas, beliau berkata terdapat 1,043 aduan kes pembakaran terbuka dan pembakaran sampah sarap merupakan aduan tertinggi melibatkan 715 kes.

Dalam tempoh itu, JAS juga telah mengambil tindakan penguatkua­saan dengan mengeluark­an 79 arahan di lapangan, lima kompaun, 12 notis arahan dan 666 pemantauan berkaitan pembakaran terbuka.

Susulan cuaca panas dan kering ketika ini, Nik Nazmi mengingatk­an semua pihak agar tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggun­gjawab menyebabka­n pembakaran terbuka termasuk pemilik tanah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia