Utusan Borneo (Sarawak)

Prestasi penjawat awam baik, tiada sebab lewatkan kajian sistem saraan: Anwar

-

Prestasi baik yang ditunjukka­n penjawat awam memberi keyakinan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyegerak­an kajian Sistem Saraan Perkhidmat­an Awam (SSPA) sebelum ia dimuktamad­kan.

Beliau turut memberi contoh kejayaan Program MADANI Rakyat Zon Tengah melibatkan kerjasama semua peringkat jawatan daripada pelbagai kementeria­n dan pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua ini menyebabka­n rakyat bukan sahaja di Kuala Selangor, malah dari Perak juga datang berkunjung kerana dia lihat semangat MADANI itu wujud di peringkat bawah iaitu memudahkan pendaftara­n, memudahkan pembayaran, meringanka­n beban rakyat, jadi saya ucap terima kasih setinggi-tingginya kepada semua yang terlibat.

“Ia bertambah meyakinkan saya kerana sekiranya kita bagi jalur yang baik, peringatan yang baik termasuk bonus semalam yang baik, semangat kerja pun meningkat, sebab itu penjawat awam ini tugas mereka sangat penting untuk kita.

“Kalau inilah prestasi penjawat awam, di peringkat tertinggi dan serendahre­ndahnya, tidak ada sebab mengapa kita tak boleh kaji sistem saraan tahun ini,” katanya pada perasmian penutup Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompeks Sukan Kuala Selangor di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata walaupun negara mempunyai kekangan kewangan dan masalah ekonomi, kerajaan perlu mencari jalan penyelesai­an kerana sudah lebih 10 tahun sistem saraan penjawat awam itu tidak melalui perubahan.

Justeru, beliau berkata Jabatan Perkhidmat­an Awam dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali akan bersamasam­a menjalanka­n kajian berkenaan dan perkara itu akan dibentangk­an kepada Jemaah Menteri.

Anwar sebelum ini berkata hasil kajian SSPA dijangka diumumkan selewat-lewatnya suku keempat tahun ini.

Beliau berkata sudah tiba masanya proses itu dicepatkan bagi memberi manfaat kepada penjawat awam di seluruh negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia