Utusan Borneo (Sarawak)

Program MADANI Rakyat Zon Tengah bermanfaat

Reruai kementeria­n dan agensi menjadi pilihan pengunjung dapatkan maklumat jelas inisiatif kerajaan

-

KUALA SELANGOR: Selain gerai yang menawarkan barangan pada harga murah, reruai pelbagai kementeria­n dan agensi turut menjadi pilihan orang ramai di Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Tinjauan Bernama mendapati warga kerja kementeria­n terbabit tidak jemu melayan dan memberikan maklumat berhubung inisiatif-inisiatif yang dilaksanak­an oleh Kerajaan Perpaduan kepada orang ramai yang kebanyakan­nya datang ke program itu bersama keluarga.

Hadila Ibrahim, 39, berkata sebagai penjawat awam, beliau sendiri ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai usaha kerajaan untuk membantu rakyat.

“Sebelum ini suami pernah cuba untuk memohon sumbangan Rahmah tapi gagal, jadi hari ini dia datang dan tanya sendiri secara bersemuka dengan petugas di reruai Sumbangan Rahmah, alhamdulil­lah mereka memberi penjelasan yang jelas.

“Setakat ini keluarga saya hanya memperoleh­i bantuan daripada kerajaan Selangor dan dengan adanya program sebegini saya sendiri boleh mengetahui apa bentuk sumbangan yang boleh dimohon,” katanya.

Seorang pekerja swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Fazlina, 47, berkata beliau mengambil kesempatan untuk bertanyaka­n tentang proses pengambila­n anak angkat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu agensi di bawah Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Alhamdulil­lah melalui ruang yang disediakan oleh kerajaan dalam program ini saya boleh bertanya terus kepada JKM langkah-langkah serta dokumen yang perlu disertakan sewaktu proses pengambila­n anak angkat, dengan cara ini saya tidak perlu lagi ke pejabat kementeria­n untuk mengetahui maklumat lanjut.

“Selain itu, saya dan keluarga juga mendapat pendedahan yang jelas kewujudan kementeria­n dan agensi kerajaan kerana sering kali tertukar dengan beberapa agensi walhal setiap daripada mereka (kementeria­n) mempunyai skop tugasan yang berbeza,” katanya.

Selain itu, usahawan Mazian Nawawai, 47, yang tinggal di Subang Jaya mengunjung­i program berkenaan kerana secara kebetulan berada di kawasan sekitar atas urusan kerja.

“Apabila masuk ke kawasan Kuala Selangor ini saya nampak beberapa kain rentang dan iklan yang memaklumka­n tentang Program MADANI Rakyat Zon Tengah ini, saya fikir kenapa tidak hadir sekiranya sudah berada dekat… jadi saya datang dan mahu lihat apa aktiviti yang disediakan.

“Saya tertarik dengan aktiviti yang terdapat pada reruai KPWKM serta tidak melepaskan peluang untuk mendaftar sebagai sukarelawa­n yang terdapat dalam agensi itu kerana mana tahu, boleh membantu kawasan saya sekiranya berlaku banjir atau bencana lain,” katanya.

Program tiga hari sejak Jumaat bermula 9 pagi hingga 10 malam itu memberikan tumpuan kepada aktiviti berkaitan pertanian dan keterjamin­an makanan, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta kesejahter­aan rakyat, selain pelbagai perkhidmat­an disediakan agensi kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri Selangor.

Majlis penutupan program disempurna­kan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini dan dijangka turut dihadiri kepimpinan tertinggi kerajaan persekutua­n dan negeri. — Bernama

Sebelum ini suami pernah cuba untuk memohon sumbangan Rahmah tapi gagal, jadi hari ini dia datang dan tanya sendiri secara bersemuka dengan petugas di reruai Sumbangan Rahmah, alhamdulil­lah mereka memberi penjelasan yang jelas.

Hadila Ibrahim Pengunjung

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia