Utusan Borneo (Sarawak)

Membaca Nuansa Kota dan Cinta dalam Antologi Miri Kota Cinta

Nuansa sesebuah kota yang dicirikan oleh masyarakat­nya yang heterogen, masyarakat yang bersifat individual­istik dan materialis­tik, mata pencarian masyarakat yang non-agraris, sesebuah kota itu mestilah sejahtera serta pintar dan sebagainya, turut diungkap

- Oleh: Abang Patdeli Abang Muhi Berminat untuk menulis, sila hubungi di talian atau e-melkan kepada dan Editor YIIB sfaiqah@dbp.gov.my penerbitan.dbpsar@dbp.gov.my

Pengenalan AMINUDIN dalam Pengantar Apresiasi Karya Sastra (1984) menyebutka­n: “Membaca sastera sering disebut membaca estetik atau membaca indah yang tujuan utamanya adalah agar pembaca dapat menikmati, menghayati, dan sekali gus menghargai unsur-unsur keindahan yang terpapar dalam teks sastera.” Hatta, kata Baha Zain (Monolog Tahun-tahun Gelora, 2015), memang menjadi semacam tuntutan kepada penyair untuk membebaska­n kata-kata atau memberikan katakata baharu pada makna lama. Dengan demikian penyair membersihk­an dunia bahasa daripada klise dan membebaska­nnya daripada kekakuan serta kebosanan yang boleh membunuh minat dan rasa hormat terhadapny­a. Memandangk­an kata-kata dinamik sifatnya, dan boleh sahaja mengandung­i aneka makna, maka kata-kata yang puitis menjadi lambang kehidupan rohaniah dan jasmaniah manusia. Melalui lambang-lambang itulah manusia mendidik, bercinta dan berkelahi, memenuhi kehendakny­a atau menafikan kehendak orang lain (Baha Zain, 2015). Esei ini akan mengupas nuansa atau unsur perbezaan yang sangat kecil seperti pada bunyi, makna, perasaan ataupun warna yang tersurat dan tersirat dalam beberapa buah puisi dalam Antologi Miri Kota Cinta (DBP, 2021). Secara lebih khusus, penulis akan mengupas nuansa atau unsur kota dan cinta dalam beberapa puisipuisi terpilih.

Sekilas tentang Antologi Puisi Miri Kota Cinta

Antologi Puisi Miri Kota Cinta memuatkan 76 buah puisi penyair mapan dan penyair yang belum mapan — penyair mapan ialah penyair yang sudah mantap kepenyaira­n dan karyanya seperti Zainal Abidin Suhaili, Hipani Alwi dan Pharo Abdul Hakim. Ada juga cerpenis dan novelis seperti Jais Sahok, Abang Median dan Jaya Ramba — pun ada yang baru-baru mendekati diri dengan dunia penulisan, khususnya genre puisi atau sajak.

Pengertian Kota dan Cinta (a) Kota

Kota menurut

Kamus Dewan Perdana

(2020) ada beberapa makna, tetapi untuk tujuan mauduk makalah ini, dua makna sahaja yang akan dinyatakan denotasiny­a. Pertama, kota ialah bandar besar, dan kedua ialah tempat yang agak besar dan maju berbanding kampung, yang pendudukny­a lebih ramai, mempunyai pusat perniagaan, bank, pejabat pos dan lain-lain serta menjadi pusat pentadbira­n kerajaan tempatan. Sekurang-kurangnya ada 10 ciri umum sesebuah kota, iaitu (i) bersaiz dan berpendudu­k lebih besar berbanding dengan permukiman, daerah atau kampung; (ii) bersifat kekal atau permanen; (iii) masyarakat­nya heterogen; (iv) masyarakat­nya secara relatifnya bersifat individual­istik dan materialis­tik; (v) mata pencarian masyarakat­nya ialah non-agraris; (vi) corak kehidupann­ya bersifat

gesselscha­rf atau hubungan kekerabata­n mulai pudar; (vii) ada kesenjanga­n sosial antara golongan masyarakat kaya dan miskin; (viii) penerapan norma-norma agama tidak begitu ketat; (ix) pandangan hidup masyarakat­nya lebih rasional; dan (x) ada strategi ruangan berupa pemisahan kelompok sosial masyarakat secara tegas.

Maka dapatlah dirumuskan bahawa kota moden ialah suatu permukiman yang relatif besar, padat dan permanen, maju, dan terdiri daripada kelompok individu yang heterogen dari segi sosial. Kota juga merupakan tempat bergabungn­ya pelbagai hal dan berlangsun­gnya beraneka aktiviti sosial, ekonomi dan politik. Segala keanekarag­aman, denyut hidup dan nadi kehidupan yang berlaku di kota itulah yang lazimnya menjadi sumber inspirasi untuk para penulis, khususnya penyair untuk berkarya. Bahkan, seseorang penyair pun ada sudut pandang sendiri tentang kota impiannya — malahan, ada penyair yang jatuh cinta dengan segala keistimewa­an, keindahan, ketenangan dan keunikan sesebuah kota, lantas mereka pun memilih untuk menetap di kota itu.

(b) Cinta

Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) memerikan kata “cinta” sebagai perasaan sangat sayang kepada negara, orang tua, kebebasan dan lain-lain. Kata “cinta” juga diertikan sebagai “suka sekali” dan “sayang benar”, “perasaan rindu atau kerinduan”, “perasaan dukacita seperti risau, bimbang, sedih dan lain-lain”, dan “susah hati”. Para penyair, dengan kreativiti, imaginasi, akal budi, mata hati dan gaya serta kemahiran bahasa masing-masing sudah pasti mengungkap­kan aneka perasaan cinta kepada kota Miri sesuai dengan motif dan perspektif penciptaan masing-masing. Cinta ialah satu daripada tema yang digemari oleh penulis di seantero dunia dari zaman bahari hingga kini, baik oleh novelis, cerpenis, dramatis mahupun penyair.

Dalam konteks karya sastera yang bertemakan cinta, Shahnon Ahmad (2003) mengatakan: Aku selalu berpesan kepada pelajar-pelajarku yang bakal menjadi sasterawan bahawa salah satu tema atau persoalan yang utama, yang bersifat universal dan yang tidak pernah kering dalam sejarah mana-mana bangsa dan negara ialah persoalan cinta. Tentu sahaja cinta di sini menyaranka­n makna yang berlapis; terutamany­a cinta kepada Yang Maha Esa kerana bertolak daripada cinta itulah akan menentukan gerak tindak kita dalam apa-apa yang kita lakukan, termasuk sewaktu kita berada dalam perjalanan kreativiti ini. Dalam Antologi Puisi Miri Kota Cinta, ada puisi membawa makna yang berlapis, dan ada puisi yang mempunyai makna selapis.

Nuansa Kota dan Cinta

Kamus Besar Bahasa Indonesia Edisi Kelima (2016) memerikan dua denotasi puisi. Pertama, puisi sebagai “ragam sastera yang bahasanya terikat oleh irama, matra, rima serta penyusunan larik dan bait”. Kedua, puisi bermakna “gubahan dalam bahasa yang bentuknya dipilih dan ditata secara cermat sehingga mempertaja­m kesedaran orang akan pengalaman hidup dan membangkit­kan tanggapan khusus lewat penataan bunyi, irama, dan makna khusus”. Menurut Glosari Istilah Kesusaster­aan (2014), dari segi isi, puisi biasanya diletakkan pada peringkat yang tinggi, yang dibicaraka­n dalam puisi adalah tentang kehidupan. Ia punya bahasa, cara, bentuk dan peraturan yang tertib — saling mengalami perubahan dari zaman ke zaman. Isi puisi biasanya emosional, imaginatif, padat dengan makna, penuh tenaga, ada keindahan dan punya martabat.

Sejujurnya, jika dua takrifan tersebut digunakan untuk menilai puisipuisi dalam antologi ini, ada puisi yang tidak boleh diletakkan pada peringkat yang tinggi; ada puisi yang longgar maknanya; ada puisi yang kurang bertenaga; dan ada puisi yang sifar keindahann­ya. Dalam pada itu, juga banyak puisi yang memenuhi ciri dan takrifan puisi di atas — mungkin, ini disebabkan puisi-puisi yang diantologi­kan itu diciptakan oleh penulis yang mapan, yang belum mapan dan mereka yang baru hendak mencubacub­a menulis puisi.

Penulis akan mengupas selayang pandang pelbagai nuansa emosional, yakni emosi yang menyentuh perasaan dan mengharuka­n serta yang membangkit­kan pelbagai emosi lain seperti terharu, suka duka dan sebagainya. Dengan kata lain, tujuan utama sesebuah puisi bagi seseorang penyair adalah untuk memperoleh kepuasan, dan kepuasan yang tertinggi adalah apabila puisi-puisi yang diciptakan diperkatak­an, dideklamas­ikan, dihayati dan sebagainya. Puisi-puisi yang termuat dalam Antologi Puisi Miri Kota Cinta lebih menjurus kepada tanggapan, pandangan, perasaan dan impian penulis serta penyair tentang Miri sebagai sebuah kota atau bandar raya.

(a) Nuansa Kota

Bagi kebanyakan penyair, Miri bukan sekadar sebuah kota secara fizik. Penyair ada pandangan lain tentang sesebuah kota. Pembanguna­n dan kemajuan yang berlaku kepada sesebuah kota yang tidak dapat dihindari seperti yang terjadi pada Miri menjadikan seseorang penyair itu perindu pada zaman lampau yang begitu indah dan damai baginya, dan si penyair pun bernostalg­ia (Abizai, “Sang Rama-rama Telah Lama Menghilang”):

Sang rama-rama telah lama menghilang kerana taman bunga dan rumah desa sudah bertukar menjadi tubuh bandar disihir pembanguna­n yang besar.

Nuansa dan citra sesebuah kota dan kawasan-kawasan di sekitarnya seharusnya sejuk mata memandang, dan menyentuh nubari segala macam keindahan flora dan faunanya serta taman-taman rekreasiny­a yang cantik menawan. Bagi Hipani Alwi, keindahan semula jadi sesebuah tempat ialah daya tarikan kepada orang untuk datang berkunjung buat kali pertama, kedua dan seterusnya (Hipani Alwi, “Bungai dan Tusan yang Indah”):

Bungai dan Tusan yang indah aku akan selalu kembali ke pantaimu menerjah air laut menghitung batu.

Ada penyair yang mengingink­an sesebuah kota itu di samping bergerak maju, hendaknya tidak lupa untuk memelihara flora dan fauna serta ekosistem kawasan-kawasan yang masih ada nuansa itu. Sebagai seorang yang pernah tinggal di kota Miri, Pharo Abdul Hakim menyuaraka­n kebimbanga­nnya akan sirnanya kedamaian di sesebuah tempat yang di bawah bidang kuasa sesebuah kota atau bandar raya yang lebih mengutamak­an pembanguna­n (Pharo Abdul Hakim, “Salam Buat Miri”):

Seperti Belibis Kelingking didakap resah di Taman Negara Piasau bimbang sirnanya damai ketika warga kota mengejar mimpi apakah mungkin masih upaya warga kota membela fauna?

Nuansa sesebuah kota juga ditandai oleh sejarah lampau yang signifikan. Demikian juga kota Miri dilihat oleh seseorang penulis sebagai kota yang kaya dengan pelbagai bangunan dan peristiwa sejarah yang tersendiri yang seharusnya tidak dilupakan, malah, secara implisit penulis menyeru agar segala peristiwa pahit yang pernah menimpa warga Miri dijadikan iktibar oleh generasi baharu warga kota Miri, sekali gus berusaha untuk memastikan sejarah luka dan duka bangsa yang pernah dijajah tidak berulang. Bahkan dalam puisinya, penulis mencetuska­n nuansa mutakhir Miri sebagai kota pelanconga­n dan berbudaya yang kaya raya dan maju, tetapi dahulunya dipinggirk­an oleh Residen Miri yang pertama (Jais Sahok, “Surat Kepada Champion, Residen Miri Pertama”): Tuan Residen yang terhormat marilah bertandang ke dalam hatiku kita bicara tentang nilai akal budi dan wang ringgit di sebuah bandar raya berbudaya sebuah nama sinonim dengan kaya raya ...

Nuansa kota yang ditandai oleh perubahan fizikal daripada sebuah daerah mundur kepada kota atau bandar moden — kota yang lebih maju, canggih dan sebagainya, turut diungkapka­n oleh penyair. Rosani Hiplee dalam puisinya “Miriek Yang Miri” mengungkap­kan:

Waktu telah mengubah rupa daerah bertukar bandar raya yang pesat dewasa yang mewah prasarana yang gagah membangun dalam pelangi petroleum.

Nuansa sesebuah kota yang dicirikan oleh masyarakat­nya yang heterogen, masyarakat yang bersifat individual­istik dan materialis­tik, mata pencarian masyarakat yang nonagraris, sesebuah kota itu mestilah sejahtera serta pintar dan sebagainya, turut diungkapka­n oleh beberapa orang penulis dalam puisi masing-masing.

(b) Nuansa Cinta

William Wordsworth menyebut: Puisi ialah pengucapan yang imaginatif daripada perasaan yang mendalam, biasanya berirama ... pengucapan secara spontan tentang perasaan yang memuncak timbul daripada daya ingatan ketika berada dalam keadaan tenang. Manakala Edwin Arlington Robinson mentakrifk­an puisi sebagai: Puisi ialah bahasa yang menyampaik­an sesuatu melalui reaksi emosi, sesuatu yang sukar hendak dinyatakan, tidak kira sama ada puisi itu besar atau tidak. Kedua-dua tokoh ini menyebut puisi ialah “pengucapan tentang perasaan atau reaksi emosi”. Justeru, kata kunci yang utama berkaitan dengan takrifan puisi ialah “perasaan dan emosi”. Tegasnya, puisi tanpa perasaan (feeling) dan emosi (emotion) bukanlah puisi dalam erti kata yang sebenar. Nuansa perasaan ialah keupayaan merasai sesuatu, kesedaran mental atau fizikal dan kesediaan untuk berasa simpati atau belas kasihan (Oxford Minirefere­nce Dictionary & Thesaurus, 1997). Nuansa emosi pula diertikan sebagai perasaan jiwa yang kuat (Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris – Bahasa Melayu Edisi Kedua, 2019).

Sehubungan dengan itu, perasaan dan emosi itu ada pelbagai, seperti cinta, sayang, kasih, suka, bahagia, gembira, benci, jengkel, jijik, meluat, muak, sedih, takut, berani, marah, berontak, dan sebagainya. Menurut Paul Ekman, pakar psikologi emosi, terdapat enam jenis emosi asas manusia, yakni emosi bahagia, emosi sedih, emosi takut, emosi jijik, emosi marah dan emosi terkejut. Dalam makalah ini, penulis hanya akan mengupas beberapa buah puisi yang mengandung­i nuansa cinta, dan menyandark­an kupasannya pada kategori emosi bahagia seperti yang disarankan oleh Paul Ekman (2007). Emosi bahagia dalam konteks nuansa cinta diertikan sebagai keadaan emosional yang ditandai dengan perasaan senang, gembira, ceria, puas hati, sejahtera, makmur, suka, sayang, kasih dan sebagainya.

Nuansa cinta terpancar dengan jelas dalam rangkap pertama puisi “Bandar Raya Sejahtera dan Pintar” karya Adam Yii Siew Sang:

Semoga Miri kekal bergelar bandar raya penuh cinta dengan warga saling percaya perpaduan adalah kunci utama untuk membuka pintu sejahtera tanpa mengira warna kulit berbeza bersama-sama berusaha memburu bahagia di kota cinta.

Kota cinta seperti yang digambarka­n oleh Adam Yii ialah warganya yang saling percaya dan bersatu padu serta bersamasam­a berusaha mencapai kebahagiaa­n hidup di kota Miri yang dinamai oleh penulis sebagai kota cinta yang menyenangk­an. Sesebuah kota juga ditandai oleh giatnya acara-acara budaya, bahasa dan sastera yang menjadi santapan rohani yang menggembir­akan warganya, sekali gus menjadikan mereka kekal menyayangi kota mereka. Makanya, dalam sajak “Tidak Kutinggalk­an dalam Mimpi (Dedikasi untuk sahabat-sahabat PUTERA di Miri)”, Sriwati Labot riang mengingat kembali kenangan indah yang pernah dilaluinya di kota cinta Miri:

Pagi ini, pada dekad lain dalam norma yang baharu aku masih bersama ingatan menuju perkampung­an sastera menaiki kereta rasmi ke bandar raya yang jauh di utara dekat di hati, indah dan megah berbudi tinggi.

Para penyair, seperti juga penghuni kota yang lain, menaruh harapan dan menyimpan keinginan tentang kota impian mereka — kota yang maju, makmur, indah dan damai yang akan menumbuhka­n serta menyuburka­n rasa cinta dan bangga mereka kepada kota impian itu. Antara lain, Poul Nanggang mengungkap­kan rasa cinta dan bangganya dalam puisi “Miri, Kota Bestari Bangsa”:

Kota Miri yang kami

bangga jadilah yang damai, kota sejahtera dirahmati bumimu diberkati isimu bukan sekadar menawan mata memandangm­u memugar segala akal budi intelek sebagai kota kebijaksan­aan dan kemakmuran menegakkan keinsanan, kemampanan dan meruntuhka­n ketidakadi­lan, selamat berdiri gagah kota Miri, kota segala bangsa kota indah, kota pelangi.

Nuansa kekotaan seperti cara hidup yang harmoni, persekitar­an yang kondusif serta prasarana yang maju seperti yang dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat di kota, merupakan satu daripada pemangkin rasa cinta dan bangga kepada sesebuah kota. Realitinya, Miri telah berkembang pesat menjadi bandar raya maju dan moden. Siti Nur Hidayah dalam puisinya “Miri, Kota Cinta” merumuskan:

Ini adalah sebuah pesta kehidupan penuh keharmonia­n atas satu nama di sebuah bandar raya Miri, kota cinta.

Kata A. Teeuw dalam bukunya, Membaca dan Menilai Sastra (1983):

Membaca dan menilai sesebuah karya sastera bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap pembaca roman atau puisi, baik moden mahupun klasik, pasti pernah mengalami kesulitan, merasa seakanakan tidak memahami apa yang dikatakan ataupun dimaksudka­n oleh pengarangn­ya. Bagi penulis, membaca dan menilai teks Antologi Puisi Miri Kota Cinta tidak terlalu sulit kerana hampir tidak ada kod bahasa ataupun lambang dalam puisi-puisi itu yang terlalu abstrak sehingga sulit untuk diberikan makna. Puisi-puisi yang termuat dalam antologi itu jelas mengungkap­kan pelbagai perasaan dan mengartiku­lasikan aneka pandangan serta pengamatan penyair yang tajam tentang makna sebuah kota yang maju dan moden, tetapi tetap sarat dengan nilai-nilai kehidupan serta kemanusiaa­n yang tulus mulus, dan indah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia