Utusan Borneo (Sarawak)

Lima wanita dibunuh dalam sehari di Vienna

Tiga orang ditikam di sebuah rumah pelacuran, ibu dan anak disyaki dicekik sehingga mati

-

VIENNA: Pihak berkuasa Austria kelmarin menyiasat pembunuhan lima wanita di bandar utama Vienna dalam masa sehari, termasuk tiga orang yang ditemui ditikam dengan kejam sehingga mati di sebuah rumah pelacuran.

Mayat tiga orang wanita muda itu ditemui dengan kecederaan teruk akibat tikaman pisau di sebuah rumah pelacuran di daerah Brigittena­u yang miskin di Vienna pada malam Jumaat selepas seorang saksi memaklumka­n pihak polis.

Seorang lelaki berusia 27 tahun yang masih membawa sebilah pisau yang dipercayai senjata pembunuhan telah ditangkap tidak jauh dari situ kerana disyaki melakukan pembunuhan, kata polis kelmarin.

Tiada motif diberikan bagi pembunuhan tersebut, manakala suspek masih disoal siasat, lapor agensi media Austria APA.

Dalam satu kes berasingan, seorang ibu dan anak perempuann­ya berusia 13 tahun didapati meninggal dunia di sebuah apartmen Vienna pada awal Jumaat.

Mereka berkemungk­inan dicekik hingga mati, dengan bapanya sebagai suspek utama, kata APA.

Pertubuhan perlindung­an wanita autonomi di Austria merekodkan 26 pembunuhan wanita pada tahun lepas dan debat memuncak di Austria dan sekitar Eropah bagi pembunuhan wanita dan budak perempuan, selalunya di tangan pasangan atau bekas pasangan.

Kerajaan Austria berjanji untuk membanters, menjanjika­n beberapa langkah termasuk menambahka­n pembiayaan bagi pertubuhan membantu mangsa keganasan.

Namun beberapa buah NGO menyatakan tindakan kerajaan kurang berkesan bagi menghentik­an pembunuhan seperti itu.

Antara tahun 2010 dan 2020, 319 wanita telah dibunuh di Austria, kebanyakan oleh pasangan lelaki mereka atau bekas pasangan, dengan satu rekod tinggi iaitu 43 orang mangsa pada 2019, demikian menurut satu kajian kerajaan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia