Utusan Borneo (Sarawak)

KBS ambil langkah proaktif tambah baik Kod Sukan Selamat

-

PUTRAJAYA: Kementeria­n Belia dan Sukan (KBS) akan mengambil langkah proaktif untuk menambah baik Kod Sukan Selamat bagi memastikan isu tajaan acara sukan oleh syarikat rokok dan vape tidak berulang pada masa hadapan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata kementeria­n bertegas tidak berkomprom­i dengan isu berkenaan kerana ia mampu mendatangk­an kebimbanga­n kepada pelbagai pihak terutamany­a ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menyertai aktiviti sukan.

“Kita sedang melihat dalam pindaan Kod Sukan Selamat untuk masukkan perkara ini (tidak membenarka­n penajaan rokok dan rokok elektronik dalam program sukan) berpanduka­n Kementeria­n Kesihatan Malaysia kerana akta ibu berada di bawah mereka.

“…tetapi kita boleh gunakan kuasa sebagai pemilik fasiliti sukan dan aktiviti contohnya di gelanggang futsal atau perbandana­n stadium kita (untuk) tidak benarkan (sebarang penajaan rokok atau rokok elektronik),” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 68 peserta kategori elit lelaki pada Piala Triatlon Asia 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya di sini, semalam.

Kod Sukan Selamat merupakan garis panduan mengenai persekitar­an sukan yang selamat, selain menekankan peranan dan tanggungja­wab semua pihak dalam menangani sebarang bentuk gangguan serta penderaan dalam sukan.

Justeru, Hannah berharap pengajur lebih beretika dalam pemilihan penajaan walaupun mengakui bukan mudah mendapatka­n tajaan bagi sektor sukan memandangk­an kos penganjura­n yang tinggi.

“Dunia media sosial sekarang memang tak akan terlepas, jadi kalau ada persatuan sukan yang rasa mungkin (mereka) dapat lepas, dan tiada siapa yang akan tahu, ia adalah mustahil kerana anda ada banyak penonton, dan orang juga akan merakam foto serta video.

“…dan satu lagi apabila anda membenarka­n penajaan seperti itu, ia akan menjejaska­n penaja lain kerana terdapat banyak penaja yang tidak mahu dikaitkan dengan rokok atau vape,” katanya.

Rabu lepas (21 Feb) tular di media sosial berkenaan penganjura­n Piala Polo 2024 yang berlangsun­g pada 17 dan 18 Feb telah ditaja syarikat rokok elektronik.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim pada 28 Jan pula memaklumka­n menerusi aplikasi ‘X’ kementeria­n menyiasat penganjura­n program ‘Foodie Futbol Fest 2024’ mendapat tajaan daripada syarikat menjual vape. — Bernama

 ?? ?? HANNAH
HANNAH

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia