Utusan Borneo (Sarawak)

Sultan Ibrahim berangkat rasmikan istiadat pembukaan Parlimen

-

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semalam berkenan berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangka­tan tiba Seri Paduka berdua pada 10 pagi di Dataran Parlimen disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut menyambut keberangka­tan tiba Seri Paduka berdua ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Sri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal.

Ini merupakan istiadat pembukaan Parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim, sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lepas.

Sejurus tiba di Dataran Parlimen Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia kemudian diiringi ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Lagu Negaraku kemudianny­a dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti tembakan meriam 21 das daripada pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buloh, Selangor.

Sultan Ibrahim kemudian memeriksa pasukan Kawalan Kehormat Utama dan seterusnya berangkat semula ke Penterana Diraja dan menerima sembah ‘Hormat Diraja’ buat kali kedua, sebelum lagu Negaraku dimainkan sekali lagi.

Selesai istiadat berkenaan, pasangan diraja diiringi ke Bilik Rehat Diraja di bangunan Parlimen sebelum ke sidang Dewan Rakyat untuk menyampaik­an Titah Diraja, yang merupakan titah sulung Sultan Ibrahim selepas dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari lepas.

Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform dalam talian.

Berdasarka­n takwim di laman rasmi Parlimen, persidanga­n Dewan Rakyat kali ini akan berlangsun­g 19 hari dengan tumpuan utama adalah perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementeria­n berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Sidang Dewan Negara pula dijadual berlangsun­g 18 Mac hingga 4 April ini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? UNTUK ALBUM: Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan bergambar kenangan bersama ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, semalam. Turut hadir Anwar dan Dr Wan Azizah serta Zahid dan Fadillah.
— Gambar Bernama UNTUK ALBUM: Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan bergambar kenangan bersama ahli-ahli Dewan Rakyat selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, semalam. Turut hadir Anwar dan Dr Wan Azizah serta Zahid dan Fadillah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia