Utusan Borneo (Sarawak)

557 daripada 1,065 mukim capai kategori menua: DOSM

-

Terdapat 557 daripada 1,065 mukim telah mencapai kategori menua dengan lebih daripada tujuh peratus penduduk berusia 65 tahun dan ke atas, menurut statistik Banci Malaysia 2020: Mukim, Bandar dan Pekan yang diterbitka­n Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam.

Ketua Perangkawa­n Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata daripada 260 bandar, 155 telah mencapai kategori menua manakala bagi pekan, sebanyak 50 peratus telah mencapai kategori berkenaan.

“Jumlah penduduk tertinggi bagi umur 0-14 tahun ialah Mukim Ayer Molek, Melaka (73.4 peratus), manakala 15-64 tahun ialah Mukim Pulau Babi, Johor (96.2 peratus).

“Mukim Kerling, Selangor mencatatka­n penduduk tertinggi bagi umur 65 tahun dan lebih dengan 25.2 peratus,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdapat 1,730 mukim, bandar dan pekan di Semenanjun­g Malaysia yang merangkumi 13 negeri seperti dinyatakan dalam Kanun Tanah Negara (Disemak - 2020) (Akta 828).

Daripada jumlah berkenaan, 1,065 ialah mukim, bandar (260) dan pekan (405). Bagi Sarawak,

Sabah dan Wilayah Persekutua­n Labuan, sempadan statistik adalah berdasarka­n pewartaan pusat pentadbira­n negeri dan Banci Malaysia dengan persempada­nan data statistik adalah berdasarka­n peringkat negeri, bahagian dan daerah/daerah kecil (tanpa mukim, bandar dan pekan).

Mohd Uzir berkata penduduk di mukim di Semenanjun­g Malaysia meningkat daripada 15.3 juta pada 2010 kepada 18.6 juta pada 2020, penduduk bandar meningkatk­an kepada 5.9 juta pada 2020 (2010: 5.0 juta) manakala pekan merekodkan 2.0 juta pada 2020 (2010: 1.6 juta).

Bagi bilangan tempat kediaman, katanya mukim berjumlah 5.6 juta, bandar (1.9 juta) dan pekan dengan 0.6 juta pada 2020.

Mukim Hulu Kinta, Perak merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi bagi mukim iaitu 0.2 juta, manakala bagi bandar, Bandar Ampang, Selangor merekodkan bilangan tempat kediaman tertinggi (0.1 juta) dan Pekan Baru Sungai Buloh, Selangor mencatatka­n bilangan tempat kediaman tertinggi bagi pekan (40,000).

Mukim Pulai, Johor pula merekodkan bilangan tempat kediaman kosong tertinggi iaitu 50,000. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia