Utusan Borneo (Sarawak)

Sepuluh keluarga terjejas akibat kejadian angin kencang terima bantuan JKM Miri

-

Sebanyak 10 keluarga di Happy Garden, Riam di sini yang terjejas akibat kejadian angin kencang berlaku pada petang kelmarin menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri semalam.

Menteri Pengangkut­an Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata mangsa terlibat akan diberi bantuan segera dalam bentuk wang tunai untuk mereka membeli bahan binaan bagi tujuan membaik pulih rumah masing-masing.

“Semasa kejadian, saya tiada di sini dan apabila datang ke sini pagi ini (semalam), saya dapati beberapa buah rumah mengalami kerosakan di mana bumbung 10 buah rumah di kawasan Happy Garden di sini tercabut dan diterbangk­an angin.

“Saya memaklumka­n kepada JKM Miri untuk melakukan semakan dan mengumpul maklumat mangsa terjejas,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di sini pagi semalam.

Lee berkata, JKM Miri berhubung dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri untuk menilai kerosakan dialami dan seterusnya menentukan kos membaik pulih.

Turut mengiringi Lee dalam lawatan itu ialah Kaunselor Jeffery Phang.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 2 petang itu, angin kencang dan hujan lebat yang melanda kurang 10 minit menerbangk­an bumbung 10 rumah di taman perumahan terbabit.

Sementara itu, seorang penduduk yang sempat ditemui, Tinggang Manda, 63, semasa berkata kejadian dia baru hendak makan apabila terdengar bunyi bising tatkala angin kencang dan hujan lebat melanda.

“Ketika kejadian, saya baru hendak makan apabila terdengar bunyi bising dan apabila melihat ke luar rumah, saya nampak atap rumah berterbang­an dan jatuh ke jalan.

“Saya menjadi cemas kerana ketika itu saya bersendiri­an sementara anak dan menantu keluar membeli sayur dan semasa masuk semula ke rumah mendapati bilik tidur saya basah akibat bumbung tercabut dan terbang,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia