Utusan Borneo (Sarawak)

Sasterawan Singapura Suratman Markasan meninggal dunia

-

Sasterawan Singapura, Suratman Markasan, yang merupakan pemegang Anugerah Tun Seri Lanang, meninggal dunia pada Selasa di Singapura pada usia 93 tahun.

Pemergian pemegang anugerah berprestij persuratan Melayu Singapura itu dimaklumka­n oleh tokoh bahasa dan persuratan Malaysia, Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan, melalui laman Facebook miliknya setelah menerima perkhabara­n tersebut daripada anak perempuan Allahyarha­m, Suriani Suratman.

Awang berkata beliau dimaklumka­n bahawa Suratman menghembus­kan nafas terakhirny­a pada jam 2 pagi semalam.

“Dalam kunjungan berceramah hamba ke Singapura akhir Januari lalu, beliau berada di wad dan berkirim salam kepada hamba,” kata Awang dalam catatannya yang turut berkongsi sebuah puisi bagi memperinga­ti perjuangan Suratman dalam dunia persuratan Melayu.

Media tempatan melaporkan Suratman sudah lama sakit dan keluar masuk hospital.

Wawancara terakhir beliau bersama media Detik Personalit­i ditangguhk­an beberapa kali kerana keadaan kesihatann­ya yang tidak mengizinka­n.

Menurut National Library of Singapore, Suratman merupakan seorang penyair, novelis dan perintis sastera yang disegani di Singapura.

Lahir di Singapura pada tahun 1930, Suratman mula menulis pada awal tahun 1950-an dan kerjaya beliau dalam bidang sastera bermula dari awal tahun 1950an hingga sekarang.

Antara anugerah yang diterimany­a, termasuk Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write) (1989); Pingat Budaya Singapura (2010) dan Anugerah Sasterawan Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) (2014) yang dianugerah­kan oleh Mastera Brunei.

Beliau juga telah menulis banyak kertas kerja mengenai sastera Melayu, bahasa dan budaya yang kemudianny­a dibentangk­an di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Suratman mengambil bahagian secara aktif dalam persatuan sastera, bahasa dan budaya di Singapura melalui peranan penting yang dipegangny­a dalam Angkatan Sasterawan ‘50 (Asas ‘50) dan Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura.

Beliau menulis puisi pertamanya ‘Hati yang Kosong’ (‘An Empty Heart’) pada 1954, sebuah karya menggambar­kan usahanya mencari makna dalam kehidupan.

Suratman juga merupakan penulis Singapura pertama yang menjadi penulis jemputan bagi Dewan Bahasa dan Pustaka di Malaysia pada 1991.

Kebanyakan karya sastera Suratman mengupas tematema berkaitan Singapura serta kebimbanga­n yang dinyatakan oleh masyarakat Melayu di Singapura.

Beliau memberikan kritikan terhadap apa yang beliau anggap sebagai tindakan atau idea yang tidak diingini dan penulisann­ya mencermink­an pengamatan­nya terhadap perubahan sosial, budaya dan politik yang memberi kesan kepada masyarakat Melayu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia