Utusan Borneo (Sarawak)

Hentikan tafsiran salah frasa ‘liberal’ dalam cita-cita Rukun Negara: Aaron

-

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menggesa semua pihak supaya menghentik­an tafsiran yang salah berhubung maksud frasa ‘liberal’ yang terdapat dalam cita-cita Rukun Negara.

Beliau berkata salah satu cita-cita Rukun Negara adalah “menjamin satu cara liberal terhadap tradisitra­disi kebudayaan­nya yang kaya dan pelbagai corak” dengan perkataan ‘liberal’ itu merujuk kepada sikap keterbukaa­n dan penerimaan (Faham, Hormat dan Terima) kepada perbezaan budaya antara kaum dan etnik.

“Rakyat bebas mengamalka­n agama, adat resam serta kebudayaan masing-masing sesuai dengan kepentinga­n perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan semalam bagi memberi penjelasan berhubung frasa ‘liberal’ dalam cita-cita Rukun Negara.

Beliau berkata cita-cita Rukun Negara menegaskan prinsip-prinsip yang menjadi asas kepada pembentuka­n masyarakat Malaysia yang bersatu padu, demokratik, adil, liberal dan progresif.

“Penerapan nilai-nilai liberal (keterbukaa­n terhadap perbezaan budaya antara kaum) dalam masyarakat akan membantu mencipta persekitar­an yang lebih inklusif, dinamik dan progresif, serta memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang dan menyumbang kepada pembanguna­n negara secara positif,” katanya.

Dalam menerangka­n mengenai proses pembentuka­n Rukun Negara, Aaron berkata Majlis Perundinga­n Negara yang dianggotai oleh 13 tokoh negara daripada pelbagai latar belakang kaum dan kepakaran telah menghasilk­an Rukun Negara sebagai falsafah negara baharu.

Rukun Negara telah dirangka berdasarka­n tujuh tunjang utama yang telah dikemukaka­n melalui kertas ‘Pillars of Nation’.

“Akhirnya, Rukun Negara telah dirangka dan disusun kepada dua bahagian iaitu lima cita-cita dan lima prinsip. Cita-cita dan prinsip Rukun Negara kemudianny­a telah diterjemah kepada suatu bentuk falsafah atau ideologi nasional. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia