Utusan Borneo (Sarawak)

Polis temui mayat pengacara TV Australia dan teman lelaki

Ekoran maklumat pegawai polis yang dituduh membunuh mereka

-

SYDNEY: Polis Australia kelmarin menemui mayat seorang pengacara televisyen dan teman lelakinya yang merupakan seorang pramugara di kawasan luar bandar di luar Sydney, bertindak atas maklumat daripada seorang pegawai polis yang didakwa atas pembunuhan mereka.

“Kami sangat yakin kami telah menemui Luke dan Jesse,” kata ketua polis New South Wales, Karen Webb, sambil menyatakan keluarga kedua-dua mangsa menerima berita itu dengan lega dan sedih.

Penemuan itu menamatkan pencarian berprofil tinggi yang diteruskan selama hampir seminggu untuk mayat wartawan hiburan Jesse Baird, 26, dan pramugara Qantas Luke Davies, 29.

Seorang konstabel polis berusia 28 tahun yang pernah menjalinka­n hubungan dengan Baird telah didakwa dengan dua pertuduhan membunuh.

“Maklumat ini didapati dengan bantuan tertuduh,” kata Webb.

Polis percaya pasangan kekasih itu ditembak di sebuah rumah di tengah Sydney sebelum dimuatkan ke dalam beg papan luncur dan diangkut ke kawasan luar bandar, kira-kira dua jam dari bandar.

Ujian balistik menunjukka­n peluru yang ditemui di pangsapuri itu sepadan dengan senjata api polis. Senjata itu kemudianny­a ditemui di dalam peti besi balai polis.

Polis mendakwa pembunuhan itu “bersifat domestik” dan bukan “jenayah kebencian homoseksua­l”.

Suspek pernah menjadi pengejar selebriti dan penulis blog sebelum menyertai pasukan polis.

Dia telah bergambar dengan beberapa bintang termasuk Taylor Swift, Miley Cyrus, Lady Gaga dan Ben Stiller.

Dia sebelum ini disiasat berhubung tindakan agresif terhadap seorang lelaki Orang Asli pada 2020 selepas video kejadian itu muncul dalam talian. — AFP

 ?? — Gambar AFP ?? PERIKSA: Pasukan polis New South Wales memeriksa lokasi di Bungonia kelmarin di mana mereka menemui mayat seorang pengacara televisyen dan teman lelakinya yang merupakan seorang pramugara.
— Gambar AFP PERIKSA: Pasukan polis New South Wales memeriksa lokasi di Bungonia kelmarin di mana mereka menemui mayat seorang pengacara televisyen dan teman lelakinya yang merupakan seorang pramugara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia