Utusan Borneo (Sarawak)

Polis buru suspek terlibat kes curi pagar rumah di Sealine 1 Lutong

-

Polis sedang giat mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian mencuri pagar rumah di kawasan perumahan Sealine 1, Lutong, di sini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang kontraktor perumahan pada jam 11.48 pagi kelmarin berhubung kejadian terbabit.

“Pelapor memaklumka­n bahawa salah satu pagar rumah di kawasan perumahan Sealine 1 telah dicuri oleh orang yang tidak dikenali di mana video tersebut tular di media sosial.

“Sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri telah menjalanka­n siasatan di tempat kejadian dan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) telah diperolehi.

“Rakam CCTV tersebut menunjukka­n terdapat dua lelaki telah mengangkat pagar rumah tersebut dan meletakkan­nya di atas bumbung kereta berwarna silver,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Alexson memberitah­u ekoran daripada kejadian tersebut, BSJ IPD Miri membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Pihak BSJ IPD Miri kini telah melancarka­n Ops Kesan bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat dalam kejadian ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak polis ingin menasihatk­an orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana ia akan mengganggu siasatan.

Individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubung­i Inspektor Norashikin Adin di talian 085-433222 untuk menyalurka­n maklumat berkaitan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia