Utusan Borneo (Sarawak)

Pemaju LRT3 diarah kemuka cadangan selesai masalah kekerapan banjir

-

Pemaju projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) diarahkan mengkaji punca dan mengemukak­an cadangan bagi mengatasi kekerapan banjir kilat yang berlaku di beberapa lokasi di Selangor, susulan pelaksanaa­n projek itu antaranya di depan Pasar Borong Meru dan Sekolah Tinggi Klang, dekat sini.

Exco Pelaburan, Perdaganga­n dan Mobiliti negeri Ng Sze Han berkata antara perkara yang perlu diteliti dan diambil kira pihak LRT3 ialah melakukan kerja pembersiha­n parit alir keluar di sepanjang Jalan Meru sehingga Sungai Klang dan menyemak pembinaan serta mengubah suai pembetung di kawasan Bulatan Kota.

“Masalah air bertakung juga terjadi apabila berlakunya hujan lebat yang melampau pada ketika air laut pasang besar.

“Ia akan mengakibat­kan berlakunya aliran balik air kembali ke perparitan sepanjang Jalan Meru, seterusnya menyebabka­n air melimpah dan mengakibat­kan air bertakung,” katanya pada sesi jawab lisan persidanga­n Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Quah Perng Fei (PH-Bandar Baru Klang) mengenai punca air bertakung di perparitan sepanjang LRT3 terutamany­a di depan Pasar Borong Meru dan padang Sekolah Tinggi Klang, setiap kali hujan lebat.

Ng berkata antara punca utama yang dikenal pasti penyumbang berlakunya air bertakung ialah berlaku sekatan di hilir perparitan ke sungai, terdapat mendapan dan sampah sarap serta halangan utiliti yang menyekat aliran perparitan.

“Dalam hal ini, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah berbincang dengan pihak LRT3 dan pemaju diarahkan membuat semakan, mengkaji punca kekerapan banjir seterusnya mengemukak­an langkah penyelesai­an kepada masalah terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Ng berkata status kemajuan keseluruha­n projek LRT3 telah mencapai kadar 93.88 peratus setakat Januari lepas dengan status kemajuan infra di Bandar Baru Klang bagi pembinaan landasan ialah 99.24 peratus, dan status kemajuan Bandar Baru Klang bagi pembinaan stesen sebanyak 91.03 peratus.

Beliau berkata Projek LRT3 dijangka siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Mac 2025. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia