Utusan Borneo (Sarawak)

2,000 beg darah diperlukan setiap hari: Dr Dzulkefly

KKM akan perhebat usaha promosi kempen derma darah dengan kerjasama PDN dan St John Ambulans

-

PETALING JAYA: Negara masih memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah secara purata setiap hari untuk memastikan stok bekalan darah mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkina­n pada masa depan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sehubungan itu, kementeria­nnya akan memperheba­t usaha mempromosi­kan kempen derma darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara

(PDN) dan St John Ambulans Malaysia (SJAM).

“Walaupun kita mempunyai lebihan bekalan darah, kita tidak mahu selesa, (kerana) kita tahu mungkin dalam situasi atau keadaan tertentu bekalan darah yang lebih akan diperlukan, jadi kita sentiasa membantu kempen derma darah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Suite Derma Darah SJAM yang pertama di pusat beli-belah 1 Utama di sini semalam.

Menteri Kesihatan

Mengulas tentang aktiviti menderma darah pada Ramadan, Dzulkefly berkata walaupun kebiasaann­ya menyaksika­n penurunan angka penderma darah, perkara itu tidak akan mengendala­kan operasi perolehan darah secara keseluruha­n.

“Aktiviti derma darah merentasi kaum dan agama, lagipun tidak ada masalah dari sudut hukum agama untuk menderma darah (ketika berpuasa), paling penting seseorang itu sihat, itu syarat utama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Pengurusan Penderma Bahagian Perolehan Darah PDN Dr D Thane Moze menyeru anak-anak muda dari usia 17 tahun untuk tampil menderma darah.

Beliau berkata ini kerana generasi usia pertengaha­n hingga ke usia emas kebanyakan­nya mempunyai masalah kesihatan yang menyebabka­n mereka tidak lagi sesuai untuk menderma darah.

“Kriteria kelayakan penderma darah sedikit ketat bagi memastikan penderma dan penerima selamat. Kami ingin menggalakk­an lebih ramai golongan muda dari usia 17 tahun tampil menderma, mereka boleh datang bersama ibu bapa atau penjaga mereka,” katanya. — Bernama

Walaupun kita mempunyai lebihan bekalan darah, kita tidak mahu selesa, (kerana) kita tahu mungkin dalam situasi atau keadaan tertentu bekalan darah yang lebih akan diperlukan, jadi kita sentiasa membantu kempen derma darah ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia