Utusan Borneo (Sarawak)

Peruntukan RM1 bilion langkah tepat, tingkat taraf hidup Bumiputera

-

Pelbagai inisiatif termasuk peruntukan RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera yang diumumkan kerajaan adalah satu langkah tepat pada masanya bagi menjamin kesejahter­aan golongan berkenaan dalam keadaan ekonomi ketika ini.

Pensyarah Kanan Universiti Keusahawan­an Koperasi Malaysia (UKKM) Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mampu meningkatk­an taraf hidup Bumiputera secara keseluruha­n, sekali gus mencipta daya saing yang setaraf dengan kaum lain.

Bagaimanap­un, beliau berharap supaya pelaksanaa­n setiap inisiatif itu dijalankan secara penuh telus, amanah serta berintegri­ti, malah tindakan yang setimpal perlu diambil sekiranya terdapat mana-mana pegawai culas atau gagal menjalanka­n tugas mereka.

“Kejayaan program ini bukan terletak pada (tanggungja­wab) kerajaan sahaja, tetapi ia juga dipikul bersama oleh agensi berkaitan dan pegawai-pegawai mereka, ahli-ahli korporat yang berjaya dan juga Dewan Perniagaan Melayu serta koperasiko­perasi.

“Diharap juga usahawan yangg mendapat akses kepada pelbagai jenis kemudahan seperti pinjaman dan geran juga akan dibuat pemantauan yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Pada majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya kelmarin, Perdana Menteri mengumumka­n beberapa inisiatif baharu bagi Agenda Baharu Pemerkasaa­n Bumiputera, antaranya kerajaan akan memperuntu­kkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuha­n tinggi yang akan dikendalik­an oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Selain itu, Perdana Menteri mengumumka­n penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta yang menyasarka­n dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun, dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf itu.

Perdana Menteri turut mengumumka­n kerajaan akan mengkhusus­kan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi kewangan pembanguna­n seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, dan TEKUN Nasional bagi menyediaka­n sokongan kepada pelbagai segmen usahawan Bumiputera termasukla­h wanita, belia dan veteran tentera serta penjaja, pekerja gig dan pengusaha food truck (trak makanan).

Menyifatka­n bahawa penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI sebagai langkah di luar jangkaan, Abu Sofian berkata ini adalah kali pertama seorang Ketua Negara menerajui satu program besar dengan melibatkan penduduk majoriti Malaysia.

“Dengan Yang di-Pertuan Agong sebagai penaung (Tabung Wakaf MARA MADANI), maka sifat integriti pegawai-pegawai pelaksana akan berada pada tahap tertinggi sekali. Namun, untuk memastikan program ini berjaya, perlu ada ‘check point’ (semakan) dan audit berterusan supaya tidak ada ‘lagging’ (kelewatan) atau ‘weak link’ (kelemahan) yang menarik program ini daripada meluncur ke hadapan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia