Utusan Borneo (Sarawak)

Kawasan penemuan kem, kubur di Wang Kelian pada 2015 sentiasa dipantau: Polis

-

PADANG BESAR: Kawasan sempadan Malaysia-Thailand di sekitar Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sini yang pernah digemparka­n dengan penemuan kem serta kubur berkaitan isu pemerdagan­gan manusia pada 2015 sentiasa berada dalam pemantauan polis dari semasa ke semasa.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan 69 Komando melakukan rondaan berjalan kaki berterusan secara berkala di kawasan itu untuk memastikan tiada lagi aktiviti kemasukan pendatang asing tanpa izin.

“Setakat ini daripada pelaporan yang kita dapat, tidak ada lagilah kesan-kesan baharu tentang wujudnya kem-kem pendatang tanpa izin di garisan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan sekitar Bukit Wang Burma kelmarin.

Tinjauan berkenaan turut disertai wakil media, dengan menyusuri laluan hutan dan berbukit untuk sampai ke kawasan satu daripada bekas tapak kem lama itu yang mengambil masa lebih tiga jam dari Pos PGA Simpang Lima dekat sini, sejauh kirakira empat kilometer.

Hasil pemerhatia­n Bernama

mendapati masih terdapat kesan peninggala­n lama di kawasan sekitar antaranya bekas beras, makanan, talam, baju, kanvas dan tin minuman.

Pada 2015, Ketua Polis Negara pada masa itu Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahka­n penemuan 139 kubur serta kem berkaitan isu pemerdagan­gan manusia dalam kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu.

Susulan itu, pada 2019, Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sebagai berkata kerajaan menubuhkan Suruhanjay­a Diraja (RCI) bagi menyiasat kes penyeludup­an manusia di Wang Kelian itu secara mendalam.

Muhammad berkata kawasan tinjauan di satu daripada bekas tapak kem lama itu merupakan kem yang agak besar daripada keseluruha­n 27 kem yang aktif dipercayai digunakan penyeludup untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin pada ketika itu menggunaka­n beberapa laluan dari kawasan sempadan berkenaan.

“Apa yang kita dapati hari ini (semalam) ialah tinggalan oleh pendatang asing tanpa izin pada masa dahulu, dan kita dapati masa kita nak naik tadi pun, kita dapati laluan yang kita gunakan itu pun telah ditumbuhi semak-samun untuk sampai ke puncak ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata modus operandi kegiatan penyeludup­an pendatang asing tanpa izin ke negara ini melalui sempadan negeri itu kini dipercayai lebih tertumpu menggunaka­n laluan berpagar yang dipotong dan melalui ejen ataupun ‘transporte­r’ tersusun yang menggunaka­n khidmat orang tempatan.

Beliau berkata berdasarka­n soal siasat pihaknya mendapati nilai kos yang terpaksa dibayar pendatang asing tanpa izin bagi kegiatan berkenaan dipercayai agak tinggi iaitu kira-kira RM5,000 seorang untuk mereka sampai di kawasan dijanjikan.

Dalam pada itu, beliau berkata rondaan PGA dan pasukan 69 Komando di kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu juga untuk melindungi khazanah hutan yang terdapat di Perlis supaya tidak diceroboh sewenangwe­nangnya.

“...di kawasan hutan simpan di Perlis ini (dipercayai) menjadi sasaran kepada pemburu haram termasuk mencari gaharu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia