Utusan Borneo (Sarawak)

Banjir kilat juga berpunca daripada perubahan iklim: Penguang

-

Isu banjir kilat bukan hanya berpunca daripada masalah longkang tersumbat atau perancanga­n bandar yang tidak betul semata-mata tetapi ia juga terjadi akibat perubahan iklim.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil berkata dalam beberapa tahun kebelakang­an ini, seluruh dunia berhadapan kekerapan hujan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kesan daripada perubahan iklim.

“Jika diingatkan, bertahun-tahun dahulu (kawasan) kita jarang hujan, tidak seperti yang kita alami beberapa minggu kebelakang­an ini.

“Pada masa kini, hujan berlaku di mana-mana dan banjir kilat atau banjir berlaku bukan sahaja di Malaysia atau Sarawak tetapi di tempat yang tidak pernah berlaku banjir sebelum ini. Contohnya di Afrika, di Eropah, Amerika Selatan dan Amerika,” ujarnya.

Penguang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Majlis Perbandara­n Padawan (MPP) bagi pihak Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di bangunan MPP di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu juga menyatakan masalah banjir kilat merupakan aduan yang paling kerap dikemukaka­n di mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sarawak.

“Jika anda membaca berita kebelakang­an ini, semua orang di bandar-bandar utama di Sarawak mengadu mengenai masalah banjir kilat.

“Seperti yang saya katakan dan jawab di Dewan Undangan Negeri, (masalah) longkang tersumbat dan kecil atau perancanga­n yang tidak betul sememangny­a boleh menyumbang kepada banjir kilat.

“Walaupun kita merupakan sebahagian daripada pihak yang harus dipersalah­kan dalam hal ini, (kita) jangan lupa gambaran lebih besar iaitu perubahan iklim yang berlaku di mana-mana tempat di dunia yang turut sama memainkan peranan dalam hal ini,” katanya.

Penguang dalam pada itu juga menggesa pihak PBT untuk meningkatk­an standard melebihi pematuhan semata-mata dan berusaha untuk penambahba­ikan berterusan bagi memenuhi jangkaan orang ramai yang semakin tinggi.

Ia terutamany­a apabila orang ramai lebih mudah mengakses akhbar, media sosial dan sebagainya pada masa kini.

“PBT perlu bekerja lebih keras terutama dalam menangani masalah umum dan awam contohnya seperti pengurusan sisa, longkang tersumbat, banjir kilat dan lain-lain. Ini memerlukan pasukan yang berdedikas­i untuk melihat masalah sedemikian tidak akan berulang

pada masa akan datang,” katanya.

Tambah beliau, interaksi atau aduan yang diterima daripada orang awam juga boleh digunakan sebagai maklum balas untuk meningkatk­an penyampaia­n perkhidmat­an.

“Aduan-aduan itu juga berfungsi memastikan bahawa kita melakukan perkara yang orang ramai mahu dan bukan apa yang kita mahu. Jadi pada saya itu sangat penting,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah ADUN Batu Kitang Dato Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap, Pengerusi MPP Tan Kai, Senator Dato Ahmad Ibrahim dan tetamu kehormat lain.

 ?? ?? TRADISI: (Dari dua kiri) Yap, Ahmad, Penguang, Tan Kai dan Lo bersama tetamu kehormat lain menggaul yee sang tanda simbolik perasmian majlis tersebut.
TRADISI: (Dari dua kiri) Yap, Ahmad, Penguang, Tan Kai dan Lo bersama tetamu kehormat lain menggaul yee sang tanda simbolik perasmian majlis tersebut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia