Utusan Borneo (Sarawak)

Akta baharu kuat kuasa ‘kill switch’ ambil kira tindakan tegas terhadap bank jika cuai

- — Bernama

KUALA LUMPUR: Akta baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkua­saan 'kill switch' untuk meningkatk­an keselamata­n digital akan turut mengambil kira tindakan tegas terhadap pihak yang cuai dalam menangani jenayah penipuan dalam talian, termasuk institusi kewangan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegara­n berkata pihak bank perlu bertanggun­gjawab dan tidak boleh mengelak daripada mengambil sebarang tindakan sekiranya berlaku kes penipuan dalam talian yang melibatkan kecuaian institusi itu.

“… jika ada mana-mana bank yang sedang atau telah berbuat demikian (kecuaian), boleh merujuk agensi berkaitan supaya tindakan selanjutny­a dapat diambil. Walaupun sedemikian, rang undang-undang yang sedang dikaji ini akan merangkumi semua perkara ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyaka­n sekiranya undang-undang yang bakal digubal itu akan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan kecuaian berkaitan kes penipuan dalam talian, termasuk institusi kewangan.

Selasa lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan sedang merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkua­saan kill switch bagi aktiviti penipuan platform dalam talian secara automatik.

Menjawab soalan asal Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dari 2020 hingga 2023, Kulasegara­n berkata sebanyak 107,716 kes penipuan dalam talian dengan kerugian dianggarka­n bernilai RM3.2 bilion dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan tidak memandang rendah terhadap isu penipuan dalam talian dan tindakan menyeluruh sedang diambil bagi membantera­s jenayah itu.

“Ia termasuk penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang berfungsi untuk mengambil tindakan penguatkua­saan yang menyeluruh bagi memerangi kesalahan penipuan kewangan dalam talian termasuk respons pantas dalam menjejaki dana.

“Selain itu, NSRC menerusi Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan dibantu oleh industri telekomuni­kasi dapat mengenal pasti nombor telefon yang digunakan dalam perlakuan kesalahan penipuan ini dengan mengambil tindakan sekatan dan penamatan perkhidmat­an nombor telefon berkenaan,” katanya.

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia