Utusan Borneo (Sarawak)

Tahan kenderaan UNIFIL: Pasukan pengaman Malaysia di Lubnan selamat

Dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah

- Timbalan Jurucakap UNIFIL

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahka­n anggota pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) dari Malaysia berada dalam keadaan selamat.

Mohamed Khaled ketika dihubungi Bernama berkata demikian secara ringkas dan memaklumka­n bahawa perincian lanjut akan dikeluarka­n dalam kenyataan rasmi kemudian.

Menurut laporan media Lubnan, kenderaan berperisai milik UNIFIL yang didakwa membawa anggota pengaman dari Malaysia dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut, baru-baru ini.

Portal Defence Security Asia (DSA) yang memetik media Lubnan melaporkan bahawa kawasan berkenaan berada di luar kawasan operasi UNIFIL.

Portal berita berbahasa Arab, Lubnan Al-Modon pula mengeluark­an video memaparkan keadaan dalam kenderaan perisai UNIFIL itu yang antara lain menunjukka­n di stereng kenderaan perisai terdapat perkataan “Cendana Auto” dan beberapa peralatan peribadi milik anggota pengaman.

Ketika berita ini disiarkan, Bernama masih lagi berusaha mendapatka­n pengesahan daripada Markas Angkatan Bersama yang berperanan menyelaras­kan keperluan operasi dan misi di bawah PBB.

Sementara itu, Timbalan Jurucakap UNIFIL Kandice Ardiel ketika bercakap dengan stesen televisyen tempatan, Lebanese Broadcasti­ng Corporatio­n Internatio­nal (LBCI) mengesahka­n kejadian itu yang membawa kepada penahanan sementara anggota pengaman UNIFIL.

“Sebuah kenderaan pasukan pengaman PBB yang sedang dalam perjalanan rutin logistik ke Beirut telah memasuki jalan yang tidak dirancang,” menurut Kandice.

Beliau bagaimanap­un tidak mendedahka­n kewarganeg­araan anggota pengaman yang terbabit dalam insiden itu.

Selain kebebasan untuk bergerak di dalam kawasan operasi UNIFIL, Kandice memaklumka­n mereka juga dibenarkan bergerak di seluruh Lubnan oleh kerajaan negara itu bagi tujuan pentadbira­n dan faktor logistik seperti tertakluk dalam pelaksanaa­n Resolusi 1701.

Dalam pada itu, akhbar Lubnan, Al-Akhbar yang dipetik portal LBCI pula mengesahka­n insiden di Hay al-Sellom di Dahiyeh itu membabitka­n kenderaan perisai yang membawa anggota pengaman Malaysia.

Menurut Al-Akhbar, kejadian itu dianggap sebagai sensitif dan berpunca daripada ‘kesilapan’ anggota ke kawasan dikenali sebagai kubu kuat pejuang, terutamany­a ketika konflik dengan musuh.

Akhbar itu juga menyatakan bahawa insiden itu bukan kali pertama berlaku dan “perselisih­an faham” (altercatio­n) antara pasukan tentera antarabang­sa dan penduduk tempatan juga bukanlah kali pertama berlaku. — Bernama

Sebuah kenderaan pasukan pengaman PBB yang sedang dalam perjalanan rutin logistik ke Beirut telah memasuki jalan yang tidak dirancang.

Kandice Ardiel

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia