Utusan Borneo (Sarawak)

Curi kasut dari kedai terbakar, seorang lelaki didenda RM2,000

-

Gara-gara memiliki dua pasang kasut yang dicuri semasa kejadian kebakaran kedai di Jalan Market baru-baru ini, seorang lelaki berusia 57 tahun dikenakan denda RM2,000 atau penjara satu tahun oleh Mahkamah Majistret.

Lim Eng Guan, yang kemudian dibenarkan bebas setelah membayar dendanya, didakwa memiliki dua pasang kasut curi itu pada 25 Februari 2024, kira-kira jam 11.50 malam di sebuah bilik di Jalan Hua Kiew.

Sehubungan itu, dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 25 Februari 2024, kira-kira jam 8.30 pagi, pengadu yang juga pekerja sebuah kedai di Jalan Market mendapati kedai tempat kerjanya dalam keadaan berselerak.

Pengadu juga mendapati 300 pasang kasut pelbagai jenama termasuk Adidas, Nike, Spako, Fesion, 200 pasang selipar pelbagai jenama termasuk Ferier, Papilo, Spako, 10 pasang kasut but keselamata­n dan 30 unit lampu suluh telah hilang dengan kerugian dianggarka­n mencecah RM30,000.

Hasil laporan polis yang dibuat, pada 25 Februari 2024, kira-kira jam 11.10 malam, pihak polis telah menahan tertuduh bersama dua remaja bawah umur bagi membantu siasatan, selain merampas dua guni pada sebuah motosikal yang dinaiki oleh suspek terbabit.

Pada hari sama kira-kira jam 11.50 malam, dengan dipandu arah oleh tertuduh, pihak polis telah pergi ke sebuah bilik di Jalan Hua Kiew dan menjumpai empat pasang kasut berwarna hitam.

Pengadu berjaya mengenal pasti dua pasang kasut hitam tersebut sebagai milik kedai tempat kerjanya berdasarka­n tanda harga yang terdapat pada kasut terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia