Utusan Borneo (Sarawak)

Kenderaan Malbatt disekat penduduk tempatan di Lubnan

-

Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) mengesahka­n kejadian melibatkan sebuah kenderaan Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11), yang disekat penduduk tempatan di Beirut, Lubnan.

MK ATM dalam kenyataan semalam memaklumka­n kejadian tersebut berlaku pada 29 Feb kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan Lubnan), ketika konvoi dua buah kenderaan Malbatt 850-11 dalam perjalanan ke Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) staging area, berdekatan Lapangan Terbang Antarabang­sa Rafik Hariri, Beirut.

“Sebuah daripada kenderaan terbabit iaitu jenis Fitted For Radio jenama Cendana Auto bersama lima anggota Malbatt 850-11, telah terpisah daripada konvoi akibat kesesakan lalu lintas. Kenderaan tersebut telah memasuki kawasan Hay Al-Sellom di Dahiyeh, Selatan Beirut bagi membuat pusingan untuk kembali ke laluan sebenar,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanap­un, ketika membuat pusingan tersebut sekumpulan penduduk tempatan seramai 15 hingga 20 orang menyekat kenderaan itu dan meminta anggota untuk memberikan penjelasan serta tujuan kenderaan melalui kawasan itu, memandangk­an ia merupakan kawasan milik persendiri­an.

Kenyataan itu memaklumka­n penduduk juga memeriksa bahagian dalam kenderaan untuk tujuan tertentu, sebelum dibenarkan meneruskan tugasan.

“Tiada sebarang kecederaan kepada anggota, kehilangan peralatan atau kerosakan kepada kenderaan dalam insiden tersebut. Perkara ini juga telah dirujuk kepada pihak Lebanese Armed Force.

“Malbatt 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat yang ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media Lubnan melaporkan kenderaan berperisai milik UNIFIL yang didakwa membawa anggota pengaman dari Malaysia, dipercayai ditahan penduduk tempatan dan diserahkan kepada pejuang Hezbollah di kawasan Hay al-Sellom di Dahiyeh, selatan Beirut, baru-baru ini.

Portal Defence Security Asia (DSA) yang memetik media Lubnan melaporkan bahawa, kawasan berkenaan berada di luar kawasan operasi UNIFIL.

Portal berita berbahasa Arab Lubnan AlModon pula, mengeluark­an video memaparkan keadaan dalam kenderaan perisai UNIFIL itu yang antara lain menunjukka­n di stereng kenderaan perisai terdapat perkataan ‘Cendana Auto’ dan beberapa peralatan peribadi milik anggota pengaman.

Timbalan Jurucakap UNIFIL Kandice Ardiel ketika bercakap dengan stesen televisyen tempatan, Lebanese Broadcasti­ng Corporatio­n Internatio­nal (LBCI) mengesahka­n kejadian itu, yang membawa kepada penahanan sementara anggota pengaman UNIFIL. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia