Utusan Borneo (Sarawak)

Lupus barang curi, pemuda dipenjara enam bulan

-

Seorang pemuda dikenakan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan membantu melupuskan wayar tembaga yang dicurinya dari tempat dia bekerja.

Abang Arash Nor Azwan, 26, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Oon Kork Chern mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan di bawah Seksyen 414 ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarka­n pertuduhan, Arash didakwa membantu melupuskan barang curi iaitu segulung wayar tembaga milik sebuah syarikat pada 1 Mac 2024, kira-kira jam 11.30 pagi di sebuah premis barang lusuh di Jalan Teng Kung Suk, Hulu Lanang.

Fakta kes menyatakan pada 29 Februari 2024 kira-kira jam 9 pagi, pengadu telah dimaklumka­n oleh majikannya bahawa segulung wayar tembaga sepanjang 300 meter milik syarikat telah hilang, dipercayai dicuri.

Pengadu bersama majikannya kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kecurian itu berlaku pada 24 Februari 2024, kira-kira jam 3 pagi.

Dua lelaki yang tidak dikenali telah masuk ke dalam stor dan mengambil segulung wayar tembaga, mengakibat­kan kerugian anggaran RM20,000.

Berikutan laporan polis yang dibuat, dua lelaki telah ditahan oleh pihak polis di Lorong Sentosa 1 bagi membantu siasatan, di mana salah seorang dikenali sebagai tertuduh.

Pada 4 Mac 2024, dengan dipandu arah tertuduh dan seorang lagi suspek, pihak polis dibawa ke tempat di mana wayar tembaga itu dijual dengan harga RM330.

Resit jualan atas nama tertuduh serta salinan kad pengenalan tertuduh turut dijumpai di premis terbabit sebagai bukti pembelian.

Siasatan juga mendapati pada 1 Mac 2024, tertuduh telah bertindak menjual wayar tersebut di premis tersebut.

Kedua-dua mereka juga mengaku wayar tersebut milik syarikat tempat kerja mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia