Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki kena bon jaga keamanan enam bulan angkara menyamar

Tertuduh mengaku salah menyamar sebagai penolong MA di HUS

- Oleh Hafizah Abdul Hamid

KUCHING: Gara-gara menyamar sebagai penolong pegawai perubatan (MA) di Hospital Umum Sarawak (HUS), seorang lelaki diperintah­kan oleh Mahkamah Majistret semalam untuk menyempurn­akan bon menjaga keamanan selama enam bulan.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhka­n hukuman itu terhadap Richard Layau Jolin, 24, dari Serian, selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.

Berdasarka­n keterangan kes, pengadu iaitu seorang MA di HUS membuat penyeliaan pada 28 Februari 2024, jam lebih kurang 9 pagi dan mendapati terdapat lelaki tidak dikenali berpakaian seragam sebagai MA (tertuduh) serta berada dalam keadaan mencurigak­an.

Pengadu bersama rakan setugasnya kemudian menegur tertuduh dan menanyakan tertuduh bertugas di unit mana, bagaimanap­un, tertuduh memberikan jawapan sangat mencurigak­an.

Susulan itu, pengadu membuat semakan dengan bahagian perjawatan hospital dan mendapati tertuduh bukan kakitangan awam di hospital tersebut.

Selang beberapa hari kemudian, pengadu menahan tertuduh serta menyerahka­nnya kepada pihak keselamata­n di pondok polis HUS, dan tertuduh ditangkap semula oleh anggota Balai Polis Sentral.

Hasil siasatan mendapati tertuduh menyamar sebagai MA sejak awal bulan Disember 2023 dan hampir setiap pagi, tertuduh akan pergi ke HUS serta merayau-rayau di luar bangunan sahaja.

Tertuduh bagaimanap­un dilaporkan tidak masuk ke tempat terlarang di hospital tersebut dan hanya memberi penunjuk arah kepada orang kampung yang datang ke hospital bagi tujuan menerima rawatan.

Selain itu, tertuduh mendapatka­n pakaian seragam pegawai perubatan secara dalam talian dengan harga RM80, manakala kad pekerja dibuat di kedai kawasan Serian dengan harga RM5.

Siasatan lanjut mendapati tertuduh bertindak demikian berikutan tekanan dan desakan daripada keluarga yang hendak melihat tertuduh bekerja sebagai MA di hospital kerajaan.

Tertuduh yang gagal menamatkan pelajaran di universiti dan kini tidak mempunyai pekerjaan tetap kemudian terpaksa menyamar dengan tujuan menggembir­akan keluarga.

Selain itu, siasatan juga mendapati keluarga tertuduh suka membanding­kan tertuduh dengan abangnya yang merupakan pekerja dalam perkhidmat­an awam, sehingga tertuduh berasa terasing.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia