Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki mengaku tipu jual kereta dipenjara, didenda dan disebat

-

Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhka­n hukuman penjara setahun berserta dua sebatan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan menipu membabitka­n penjualan kereta lelong milik sebuah badan berkanun di sini.

Majistret Flavian Edward Henry yang mendengar kes turut memerintah­kan tertuduh, Eugene Vernon, 37, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditahan iaitu 10 September, 2023.

Mahkamah turut mengenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan terhadap Eugene, di mana tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki membabitka­n aktiviti penjualan kereta lelong milik sebuah badan berkanun di sini pada 27 April, 2023 di Jalan Ling Kai Cheng, sehingga menyebabka­n mangsa menyerahka­n wang tunai RM4,000 kepadanya.

Sehubungan itu, Eugene didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun berserta sebatan dan juga denda jika sabit dengan kesalahan.

Berdasarka­n fakta kes, pada 16 April 2023 pengadu telah ditawarkan untuk membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan sebuah jentera berat Hitachi 120 dengan harga lelong.

Pengadu kemudian membuat dua bayaran baucar tunai RM1,500 bagi Toyota Hilux dan RM2,500 bagi jentera berat Hitachi terbabit.

Namun selepas tiga minggu, pengadu masih gagal mendapat kenderaan terbabit sebelum membuat laporan polis.

Siasatan mendapati modus operandi tertuduh menawarkan kedua-dua kenderaan tersebut dengan harga RM4,000, di mana kenderaan lelong daripada badan berkanun itu tidak wujud.

Tertuduh bertindak demikian bagi mendapatka­n wang dengan cara yang mudah bagi kegunaan sendiri iaitu bagi menyelesai­kan hutang judinya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia