Utusan Borneo (Sarawak)

Magis ‘Jalan Alor’ pada waktu malam

-

MENYUSURI Jalan Alor sepanjang 500 meter yang terletak di belakang lokasi pelanconga­n popular Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada waktu siang bagaikan tiada apa pun yang boleh menarik perhatian untuk singgah.

Dengan berlatarbe­lakangkan bangunan kedai di kiri kanannya, persekitar­an jalan itu hakikatnya tidak jauh berbeza suasananya seperti mana kawasan komersial lain yang sibuk dengan deretan kenderaan bertali arus dan hiruk-pikuk kota.

Namun apabila matahari mula terbenam, Jalan Alor yang pernah mendapat jolokan ‘Red Light District’ mula bertukar wajah dan aura apabila dimeriahka­n oleh pelancong dari dalam dan luar negara yang membanjiri jalan berkenaan setiap hari.

Mereka datang bukan semata-matamahume­nikmati keindahan malam di Jalan Alor yang diwarnai cahaya neon di setiap sudut jalan, sebaliknya pelbagai menu selera tempatan khususnya dalam kalangan penggemar makanan laut pada harga berpatutan.

Magis kemeriahan malam di Jalan Alor dengan 100 gerai dan 50 restoran di sepanjang laluan menjadi tarikan hampir 10,000 pengunjung setiap hari. Selain makanan laut, gerai buah-buahan seperti durian Musang King dan gerai menjual manisan turut menjadi pilihan pengunjung yang datang ke situ.

Ah Ling, 55, antara peniaga paling lama mengusahak­an perniagaan makanan laut di situ selama 32 tahun berkata terdapat pelbagai perubahan di kawasan berkenaan dan paling ketara adalah keadaan jalan, kebersihan dan jumlah pengunjung berbanding semasa dia memulakan perniagaan pada 1992.

“Dulu jalan dekat sini sangat teruk dengan banyak lubang tetapi sekarang dah okey bila kerajaan dah ratakannya (jalan) dan tambah tiang lampu.

“Paip pun dah tukar selain kebersihan di sini makin terjaga. Kerajaan buat ini lapan tahun lepas kerana mereka tahu ramai pelancong luar datang ke sini,” katanya yang mesra disapa Lalola oleh pelanggan warga asing.

Ah Ling yang mengusahak­an perniagaan bersama suami dan memiliki enam kedai setakat ini berkata, bilangan restoran dan gerai di kawasan itu juga semakin meningkat sekali gus merancakka­n lagi suasana malam di situ yang turut diserikan dengan hiburan busker atau pemuzik jalanan.

Keadaan ini jauh berbeza berbanding sebelumnya yang agak sunyi, menurut Ah Ling yang biasanya sibuk sekitar jam 8 malam apabila dikunjungi ramai pelanggan untuk menikmati menu popular di gerainya seperti ikan bakar, ketam dan sotong lada hitam.

“Pada awal saya buka (perniagaan), kedai dekat sini memang tak banyak, stor pun kecil sahaja. Namun sejak 20 tahun lepas, dah mula orang dari seluruh pelosok dunia,” katanya yang turut mempunyai pelanggan tetap, jejaka berasal dari Belanda sejak 28 tahun lepas.

Pelancong dari Indonesia yang ditemui Bernama, Firma Winda, 24, berkata dia mengetahui tentang kemeriahan Jalan Alor menerusi TikTok dan tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke situ.

Firma yang berasal dari Riau memilih makanan tular dari Korea Selatan berasaskan buah-buahan, Tanghulu untuk dicuba.

“Saya memang ingin mencuba ‘street food’ (makanan jalanan) yang unik jadi saya mencari menerusi TikTok dan tertera Jalan Alor. Ini kali pertama saya sampai di sini dan saya sangat teruja,” katanya yang bercuti ke Malaysia bersama sahabat baiknya Sri Maharani, 25.

Sementara itu, durian Musang King antara yang ingin dicuba Sri Maharani apabila sampai buat pertama kalinya di Jalan Alor.

“Saya akan syorkan kawankawan senegara untuk datang ke sini sebab orang Indonesia suka kuliner, makanan jalanan,” katanya.

Kemeriahan Jalan Alor biasanya bermula pada 6 petang dan aspek keselamata­n menjadi perkara utama yang diambil perhatian terutama bagi menangani masalah penyeluk saku, kata Setiausaha Persatuan Penjaja Jalan Alor, Simon Ang.

“Kalau ada RELA (Jabatan Sukarelawa­n Malaysia) dan kamera litar tertutup, pencuri pun akan kurang. Namun kita perlukan dokumentas­i yang betul daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kalau tak kita nampak macam ahli kongsi gelap jaga tempat,” katanya yang sudah mengemukak­an permohonan sejak Ogos lepas.

Tidak mahu Jalan Alor hanya menjadi lokasi menikmati makanan laut, Ang yang juga pengusaha kedai makanan di situ berkata pelbagai aktiviti komuniti seperti perarakan sambutan Chap Goh Mei turut diadakan bagi menambah lagi tarikan.

Kemeriahan Jalan Alor juga tidak lama lagi akan digandakan apabila bakal dilengkapi gerbang diod pancaran cahaya (LED) yang menjadi trend buat pengunjung mengabadik­an kenangan mereka di situ.

“Kelulusan untuk pintu gerbang statik kami dah dapat pada 2020 daripada DBKL, tetapi sekarang kami sedang fikirkan untuk naik taraf iaitu dalam bentuk LED bagi menambahka­n lagi tarikan Jalan Alor,” katanya. — Bernama

 ?? ??
 ?? — Gambar Bernama ?? TARIKAN: Menyusuri Jalan Alor pada waktu siang bagaikan tiada apa pun yang boleh menarik perhatian untuk singgah di sini. Namun apabila matahari mula terbenam, Jalan Alor yang pernah mendapat jolokan ‘Red Light District’ mula bertukar wajah dan aura apabila dimeriahi pelancong dari dalam dan luar negara yang membanjiri jalan berkenaan setiap hari.
— Gambar Bernama TARIKAN: Menyusuri Jalan Alor pada waktu siang bagaikan tiada apa pun yang boleh menarik perhatian untuk singgah di sini. Namun apabila matahari mula terbenam, Jalan Alor yang pernah mendapat jolokan ‘Red Light District’ mula bertukar wajah dan aura apabila dimeriahi pelancong dari dalam dan luar negara yang membanjiri jalan berkenaan setiap hari.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia