Utusan Borneo (Sarawak)

Harga pemasangan sistem solar turun 50 peratus: Fadillah

-

KUALA LUMPUR: Pelaksanaa­n pelbagai inisiatif kerajaan menerusi Program Pembanguna­n Tenaga Boleh Baharu (TBB) sejak 2011 telah berjaya menurunkan kos pemasangan sistem solar fotovoltan (PV) di negara ini sehingga 50 peratus, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata perluasan pemasangan sistem solar menerusi program yang dilaksanak­an, antaranya Program Tarif Galakan (FiT), Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Program Solar Untuk Kegunaan Sendiri (SelCo), telah mewujudkan ekonomi skala pemasangan solar di Malaysia.

“Kos purata bagi pemasangan sistem solar PV telah menurun secara signifikan kepada sekitar RM12,000 hingga RM15,000 bagi sebuah rumah teras secara umumnya berbanding RM24,000 hingga RM30,000 pada tahun 2011.

“Bagi rumah semi-D dan banglo kini kosnya hanya RM40,000 hingga RM50,000 berbanding purata RM80,000 hingga RM120,000 pada 2011,” katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai status terkini penggunaan teknologi solar di Malaysia khususnya bagi penggunaan domestik pada sesi soal jawab.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenga dan Transforma­si Air berkata penurunan kos itu sekali gus meluaskan pemasangan tenaga solar kepada lebih ramai pengguna termasuk golongan M40, berbanding sebelum ini hanya mampu dilakukan oleh golongan T20.

Beliau berkata sehingga kini lebih 16,000 pengguna domestik dengan jumlah kuota 120 megawatt (MW) telah memperoleh manfaat daripada Program NEM dan kerajaan akan meneruskan program pemasangan sistem solar untuk meluaskan lagi penggunaan agar kos pemasangan menjadi lebih mampu milik.

Menjawab soalan tambahan Young Syefura mengenai status pengumuman bahawa rakyat boleh menyewakan atau memajak bumbung rumah mereka kepada syarikat bagi pemasangan solar di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, Fadillah berkata sehingga Disember lepas, 235 syarikat telah berdaftar sebagai Pelabut Solar PV Berdaftar dengan Pihak Berkuasa Pembanguna­n Tenaga Lestari (SEDA).

“Syarikat ini ada menawarkan model langganan Kos Modal Sifar bagi rumah kediaman, menguruska­n pemasangan serta pembiayaan sistem solar tersebut termasuk menawarkan pilihan kaedah pembayaran secara ansuran,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Persekutua­n juga sedia berbincang dan membantu kerajaan negeri sekiranya ada cadangan dan kebolehan untuk mewujudkan syarikat tempatan dalam skop pembuatan panel solar.

“Di Sarawak sudah ada syarikat buat solar panel ini untuk pasaran eksport, sebab dah ramai buat sebenarnya sebab itu juga kos pemasangan itu menurun,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) mengenai perancanga­n untuk negara menghasilk­an sendiri panel solar. — Bernama

 ?? ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia