Utusan Borneo (Sarawak)

KPWKM cadang naikkan bantuan geran pelancaran daripada RM2,700 kepada RM5,000

-

Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang untuk menambah jumlah pemberian bantuan geran pelancaran dalam Skim Bantuan Kebajikan daripada RM2,700 kepada RM5,000.

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini adalah usaha KPWKM untuk membantu golongan memerlukan bagi memperoleh modal perniagaan dalam usaha mereka keluar daripada belenggu kemiskinan, malah kadar geran itu wajar dinaikkan bersesuaia­n dengan keadaan ekonomi ketika ini.

“Kami sudah bawa dalam mesyuarat pengurusan kami untuk meningkatk­an lagi (geran pelancaran itu) daripada RM2,700 kepada RM5,000. Kalau MOF (Kementeria­n Kewangan) setuju, alhamdulil­lah kami boleh laksanakan­nya...itu yang kami hendak lakukan,” katanya kepada Bernama.

Bantuan geran pelancaran dengan kadar maksimum RM2,700 secara sekali bayar itu bertujuan memperkasa­kan ekonomi kumpulan sasar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang produktif, mempunyai minat, kemahiran dan potensi untuk menjana pendapatan individu atau keluarga.

Ditanya mengenai pertimbang­an KPWKM untuk menaikkan setiap kadar elaun bantuan di bawah JKM berikutan cabaran ekonomi semasa, Nancy berkata perkara itu tidak dapat dilaksanak­an secara menyeluruh kerana ia melibatkan proses belanjawan negara.

“Namun, jika ada perubahan yang berlaku terhadap klien (penerima bantuan) kami itu, seperti baru-baru ini saya di Kuching, Sarawak, klien terima RM300 dan apabila jadi OKU (Orang Kurang Upaya) yang langsung tidak dapat buat apaapa, kami sarankan supaya tambah elaunnya kepada RM500. Perkara sebegini dapat kami lakukan.

“...tetapi insya-Allah kami akan sentiasa cuba ketengahka­n perkara ini kerana ia permintaan yang popular dalam kalangan rakyat... saya percaya kami tidak akan mengetepik­an permintaan sebegini,” katanya.

Beliau juga berkata pegawai KPWKM telah diminta untuk percepatka­n proses permohonan bantuan bagi golongan berkelayak­an sebagai usaha kementeria­n itu untuk membantu mereka dalam mendepani cabaran ekonomi ketika ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia