Utusan Borneo (Sarawak)

Polis India tahan lima lagi suspek rogol pelancong Sepanyol

-

Polis India kelmarin menahan lima lagi lelaki berhubung kes rogol berkumpula­n ke atas seorang pelancong Sepanyol, menjadikan jumlah keseluruha­n suspek yang ditahan kepada lapan, menurut laporan media tempatan.

Serangan ke atas wanita itu, yang menaiki motosikal bersama suaminya, berlaku minggu lalu di daerah Dumka di negeri Jharkhand, India di mana pasangan itu berkhemah.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) menyiarkan rakaman lima suspek, digari dan diikat antara satu sama lain dalam satu barisan dengan tali, di hadapan pegawai polis yang sedang duduk.

Pada Isnin, tiga lelaki lain hadir ke mahkamah – dengan guni menutupi kepala mereka – dan kemudianny­a ditahan reman.

“Ketiga-tiga yang ditahan sebelum ini memberikan kenyataan baharu, di mana mereka menyebut nama lima lagi jadi setakat kini, kami telah menahan lapan penjenayah secara keseluruha­nnya,” kata pegawai kanan polis tempatan Pitamber Singh Kherwar.

Kherwar berkata manamana lelaki itu, jika didapati bersalah, akan berdepan “hukuman berat”.

“Kami sedang membentuk kes yang kukuh terhadap mereka”, tambahnya.

Pihak berkuasa telah menyerahka­n cek AS$12,000 kepada pasangan itu sebagai pampasan di bawah “skim pampasan mangsa”, lapor berita NDTV.

Wanita itu, yang bercakap di media sosial, menyiarkan kenyataan selepas penahanan terbaru.

“Mereka telah menangkap semua penjenayah, dan terdapat lapan orang kesemuanya,” tulisnya sambil mengucapka­n terima kasih kepada polis yang “cekap”.

“Saya minta keadilan untuk semua wanita yang juga terpaksa melalui ini.”

Pada 2020, secara purata hampir 90 kes rogol sehari dilaporkan di India, menurut data dari Biro Rekod Jenayah Kebangsaan.

Bagaimanap­un, sebilangan besar tidak dilaporkan kerana stigma di sekeliling mangsa dan kekurangan kepercayaa­n dalam siasatan polis.

Sabitan jarang-jarang berlaku, dengan kes tertangguh selama bertahun-tahun dalam sistem keadilan jenayah India yang padat.

Pada 2012, kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang pelajar India menjadi tajuk utama berita global.

Jyoti Singh, seorang pelajar fisioterap­i berusia 23 tahun, telah dirogol, diserang dan dibiarkan mati oleh lima lelaki dan seorang remaja di dalam bas di New Delhi pada Disember tahun itu.

Jenayah ngeri itu mendapat perhatian antarabang­sa mengenai tahap keganasan seksual yang tinggi di India dan mencetuska­n protes selama berminggu-minggu, dan akhirnya perubahan undang-undang memperkena­lkan hukuman mati untuk jenayah rogol.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia