Utusan Borneo (Sarawak)

Helikopter AW139 dibawa naik tengah malam kelmarin: APMM

-

Helikopter AW139 milik Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Selangor kelmarin, berjaya dibawa naik dengan bantuan syarikat penyelengg­araan pesawat udara agensi itu kirakira jam 12.15 tengah malam kelmarin.

Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dalam kenyataan berkata, pesawat itu kemudianny­a dibawa berlabuh di jeti Pelabuhan Klang dan seterusnya ke Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) pada 3.30 pagi untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, helikopter dengan nombor pendaftara­n M72-01 merupakan satu daripada tiga siri pesawat udara AW139 yang diletakkan di bawah Skuadron Phoenix, Bahagian Operasi Udara APMM yang diterima daripada kerajaan pada 2010.

“Mencatat rekod hampir lima ribu jam penerbanga­n, helikopter terbabit telah melaksanak­an pelbagai misi penerbanga­n operasi seperti Ops Naga, Ops Kuda Laut, Ops Pagar Laut, Ops Benteng, Ops Jangkar Haram, Ops Patkor Optima, Ops Redback dan lain-lain operasi penguatkua­saan.

“Selain itu, pesawat itu juga banyak terlibat dengan pelbagai misi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) yang dikoordina­sikan APMM,” katanya.

Beliau berkata, pesawat itu juga telah digunakan untuk menyelamat­kan lima orang pemancing yang terkandas akibat cuaca buruk di Pulau Batu Berantai di Barat Laut Pantai Remis, Jeram pada 2022.

Helikopter itu katanya juga sering membawa Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) bagi melakukan pendaratan paksa dan terbaharu ialah kejayaan membantu Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) menahan sebuah kapal tangki berdaftar dari Iran yang disyaki melakukan pemindahan minyak secara haram di perairan Indonesia tahun lepas.

“Sepanjang 14 tahun perkhidmat­an bersama APMM, pesawat itu turut terlibat beberapa siri pemindahan perubatan (MADEVAC) mangsa sama ada di pulau atau di pelantar minyak yang berada di perairan negara,” katanya.

Berhubung pendaratan cemas semalam, beliau berkata empat kru termasuk juruterban­g yang terlibat dilaporkan stabil dan selamat.

“Kesemua mereka telah menjalani pemeriksaa­n kesihatan menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh APMM semalam (kelmarin),” katanya yang memohon agar kesemua mereka diberikan ruang dan tidak diganggu oleh manamana pihak.

Kelmarin, Hamid menerusi kenyataan mengesahka­n bahawa helikopter jenis AW139 kendalian APMM telah melakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat di perairan Pulau Angsa, Selangor pada 9.55 pagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia