Utusan Borneo (Sarawak)

Kanser kolorektal kedua tertinggi di Sarawak, 70 peratus di tahap tiga dan empat

-

Kanser kolorektal atau kanser usus merupakan kanser kedua tertinggi di Sarawak dengan kira-kira 350 pesakit diagnosis dengan kanser tersebut setahun.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata lebih membimbang­kan kirakira 70 peratus pesakit kanser kolorektal adalah di tahap tiga dan empat.

Ini bermaksud katanya, hanya 30 peratus pesakit dapat pulih daripada kanser berkenaan.

“Kita tahu bahawa kanser kolorektal dapat disembuhka­n. Tun Taib ada kanser kolorektal selama lebih 20 tahun tetapi dapat hidup sebab di tahap satu.

“Sebab itu kempen kesedaran kanser kolorektal ini sangat penting kerana ia kanser kedua tertinggi dan 70 peratus di tahap tiga dan empat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kanser Kolorektra­l di Ruang Foyer Pusat Rawatan Harian Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Veronica Lugah, Pengarah HUS Dr Ngian Hie Ung dan Pengerusi Majlis Profesor Madya Dr Aini Fahriza Ibrahim.

Ujar Dr Sim lagi, risiko bagi kanser kolorektal meningkat pada usia 50 tahun dan ke atas dan bagi golongan lelaki, kanser kolorektal adalah kanser yang biasa dihidapi oleh mereka.

Katanya, bagi mereka yang diagnosis kanser kolorektal tahap tiga dan empat, kadar untuk sembuh adalah rendah, justeru jangan tunggu sampai kanser sudah di tahap serius untuk mendapatka­n rawatan.

Sementara itu, Pakar Bedah Kolokrekta­l Dr Kenneth Voon Kher Ti dalam syarahanny­a mengenai kanser kolorektal pada kempen itu berkata, majoriti pesakit kanser kolorektal adalah lelaki dan wanita didiagnos pada usia 50 tahun dan ke atas.

Katanya, tanda-tanda kanser kolorektal ialah sakit perut atau tidak selesa di bahagian perut yang berterusan, darah atau lendir dalam najis, perubahan dalam bentuk najis, perubahan kebiasaan membuang air besar, berat badan menurun dan hilang selera makan dan simptom anemia seperti letih, pitam dan tercungap-cungap.

Dari segi rawatan katanya, rawatan utama adalah menerusi pembedahan bergantung kepada peringkat kanser selain rawatan kemoterapi dan radioterap­i.

Kanser kolorektal katanya, boleh dicegah dengan makan lebih banyak sayur dan buahbuahan, melakukan senaman secara berkala, mengurangk­an pengambila­n daging merah, jangan merokok, menjaga berat badan ideal dan mengelakka­n pengambila­n alkohol.

 ?? — Gambar Roystein Emmor ?? INTERAKSI: Dr Sim melawat pameran sempena Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Ruang Foyer Pusat Rawatan Harian HUS, semalam.
— Gambar Roystein Emmor INTERAKSI: Dr Sim melawat pameran sempena Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Ruang Foyer Pusat Rawatan Harian HUS, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia