Utusan Borneo (Sarawak)

Judi di tempat awam, tiga warga emas antara lapan lelaki didenda

-

Lapan lelaki termasuk tiga warga emas masing-masing didenda RM2,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas mengaku bersalah atas tuduhan bermain judi haram di tempat awam.

Majistret Randu Rangen menjatuhi hukuman itu terhadap Liew Yung Chong (40), Hii Wee Ping (42), Foo Kim Yam (61), Lau Fong Teck (59), Wong Liong Ai (51), Thein Lip Meng (53), Yong Chiu Choi (59) dan Lim Soon Chai (53) setelah mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadap mereka mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, pada 5 Mac lalu, seorang pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Sarawak telah membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 10.30 malam, 4 Mac lalu, sepasukan anggota dari BSJ IPK Sarawak dan BSJ Daerah Miri yang diketuai beliau sendiri telah membuat serbuan ke premis Persatuan Pemilik Lori Miri kerana dipercayai ada kegiatan perjudian diadakan di situ.

Dalam sebuan itu, polis telah menahan lapan individu yang didapati sedang bermain judi haram jenis ‘Pai Kaw’ dan merampas beberapa perkakas perjudian dan wang tunai berjumlah RM19,000 untuk dijadikan barang kes.

Berikutan itu, kesemua tertuduh bersama barang kes telah dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawat­i Abdul Rahman.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia