Dua lelaki asing berdepan tuduhan salah guna dadah
Dua lelaki warga asing dalam dua kes berasingan masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Anas Urba Yunda dan Alan, kedua-duanya dari Indonesia, telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, keduadua tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan sertamerta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
Berdasarkan kes pertama, Anas telah didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.50 petang, 17 Mei 2023 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
Manakala dalam kes kedua, Alan telah didakwa melakukan kesalahan serupa dengan menggunakan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada jam 7.10 malam, 6 Mac lalu di pejabat BSJND Miri.
Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati memohon ditetapkan tarikh baharu untuk sebutan lanjut bagi kedua-dua kes itu memandangkan laporan kimia berhubung barang kes belum siap.
Majistret Randu Rangen membenarkan permohonan itu dan menetapkan 15 April depan untuk sebutan lanjut kes.
Kedua-dua tertuduh yang tidak ditawarkan jaminan diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri sementara menunggu tarikh tersebut.