Utusan Borneo (Sarawak)

Dasar peluang kedua langkah tepat, perlu pelaksanaa­n teliti

-

PUTRAJAYA: Inisiatif kerajaan memperluas­kan Dasar Peluang Kedua kepada golongan muda berusia di bawah 40 tahun yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 disifatkan sebagai langkah tepat dan baik, namun perlu dilaksanak­an dengan teliti untuk mengelakka­n kesilapan sama berlaku kepada seseorang individu.

Bagi pekerja swasta Fadzli Norhisham Md Rashid, 37, inisiatif itu akan memberi peluang kerja kepada golongan belia yang bankrap selain dapat menggunaka­n perkhidmat­an bank semula.

“Dalam pada itu, peluang ini ialah satu motivasi untuk golongan muda menyemak dan mengubah cara pemikiran serta gaya hidup khususnya berkaitan kewangan,” katanya.

Sementara itu, Norman Mai, 29, yang juga eksekutif komunikasi korporat dan pemasaran di sebuah universiti swasta di ibu kota, mencadangk­an agar dasar tersebut disertai dengan program literasi kewangan dengan pendekatan yang lebih holistik.

Beliau berkata penting bagi kerajaan menghasilk­an pendekatan atau garis panduan dalam usaha mendidik golongan muda tentangpen­gurusankew­angan berkesan untuk mengelakka­n mereka melakukan kesilapan sama iaitu berhutang pada masa hadapan.

“Strategi proaktif ini berpotensi untuk mengurangk­an pergantung­an pada langkah pelepasan hutang dari semasa ke semasa, di samping memupuk kestabilan kewangan jangka panjang.

“Memberi peluang sahaja mungkin tidak dapat menangani masalah kewangan segera yang dihadapi oleh seseorang,” katanya.

Pelepasan dari hutang sahaja katanya tidak memadai dan penelitian terperinci dari segi pelaksanaa­n termasuk memantau pengurusan kewangan perlu dilakukan.

Senada dengan Norman, penulis bebas Garret Dawum, 35, berkata peluang kedua itu perlu diperincik­an dan diteliti semula berikutan beberapa faktor seperti peningkata­n kos sara hidup dan kenaikan cukai.

“Harga barang semakin mahal, namun gaji yang diterima tidak cukup untuk membiayai kehidupan. Orang muda mungkin akan sukar dalam meneruskan kelangsung­an hidup dan akan lebih tertekan.

“Saya berpendapa­t kerajaan perlu melakukan perincian dalam memperluas­kan peluang kedua itu agar dasar itu dapat memanfaatk­an golongan muda dan tidak siasia dilaksanak­an,” katanya.

Pada Mac tahun lepas, Jemaah Menteri bersetuju meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) melibatkan penambahba­ikan peruntukan pelepasan bankrap dengan Seksyen 33C Akta 360 yang berkuat kuasa 6 Okt lepas.

Diumumkan sebagai Dasar Peluang Kedua, pindaan tersebut bertujuan membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh tiga hingga lima tahun dari tarikh individu bankrap menyerahka­n pernyataan hal ehwalnya.

Sementara itu pada pembentang­an Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumka­n Dasar Peluang Kedua diperluask­an kepadagolo­nganmudabe­rusia 40 tahun dan ke bawah yang mempunyai hutang tidak melebihi RM200,000 bermula tahun ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia