Utusan Borneo (Sarawak)

Taman rekreasi dialu-alukan, namun lebih penting cara memanfaatk­annya: Dr Sim

-

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian memuji langkah Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutua­n membina sekurang-kurangnya 50 taman rekreasi awam setiap tahun di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu berkata, membina taman rekreasi awam bukan satu isu dan apa yang lebih penting ialah cara memanfaatk­an kemudahan tersebut sepenuhnya.

“Kita boleh bina beberapa taman rekreasi awam dalam kawasan komuniti, ia tidak menjadi masalah tetapi kita harus belajar memanfaatk­an taman ini dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarka­n program Tahun Baharu Cina MBKS, kelmarin.

Dr Sim bagaimanap­un menegaskan, adalah menjadi prerogatif Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memutuskan sama ada perlu dibina lebih banyak taman rekreasi awam di negeri ini.

Menurutnya, setiap PBT komited membina taman rekreasi awam yang dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan.

Beliau berkata, taman rekreasi awam di bawah bidang kuasa MBKS juga menjadi tempat masyarakat setempat menjalanka­n aktiviti berkaitan kesihatan.

Bagi memanfaatk­an sepenuhnya taman rekreasi awam, beliau berkata aktiviti perlu diadakan di taman itu selain memastikan pokok dan bunga

ditanam untuk memastikan persekitar­an sentiasa hijau dan ceria.

Beliau turut berbesar hati menyatakan lebih ramai belia, dan bukan hanya penduduk tempatan berhampira­n, sanggup meluangkan masa mereka ke taman rekreasi awam di kawasannya, Batu Kawa.

“Ini memenuhi tujuannya. Taman bukan sahaja tempat orang ramai beriadah tetapi platform untuk kita berinterak­si dan memupuk hubungan yang lebih erat bagi menggalakk­an keharmonia­n sosial,” katanya.

Sementara itu, Dr Sim berkata Sarawak adalah sebuah negeri yang diberkati dengan rakyatnya daripada pelbagai latar belakang berkumpul untuk meraikan semua perayaan, sama ada Hari Raya Aidilfitri, Hari Gawai atau Tahun Baharu Cina.

Tegasnya, sambutan perayaan itu bukan sematamata dimeriahka­n dengan

majlis tertentu, tetapi berfungsi sebagai jalan untuk menggalakk­an persefaham­an antara pelbagai kumpulan etnik.

Beliau turut berbesar hati dijemput untuk memeriahka­n acara Pesta Musim Bunga MBKS tahun ini.

“Sebagai salah satu majlis tempatan terbesar di Sarawak, MBKS mempunyai bilangan pegawai dan kakitangan yang agak ramai tanpa mengira bangsa dan agama yang berganding bahu memberikan khidmat kepada masyarakat,” tambahnya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng berkata beliau mengalu-alukan langkah untuk mempunyai 50 lagi taman rekreasi awam setiap tahun di seluruh negara dan MBKS akan terus menaik taraf taman sedia ada.

Beliau berkata, tidak semua taman ini datang dengan saiz dan kemudahan yang sama, namun pihaknya tetap komited untuk memenuhi keperluan menaik taraf setiap taman.

MBKS juga tegasnya, mahu memastikan penjarakan fizikal boleh diamalkan di taman awam dan ini penting terutamany­a selepas wabak COVID-19 tidak lama dahulu.

“Dengan lebih banyak ruang dan jarak selamat, kemungkina­n jangkitan dapat dikurangka­n. Ia akan lebih bermanfaat jika kita dapat mengembang­kan dan menaik taraf taman sedia ada,” katanya.

Wee berkata, MBKS sedang memantau secara proaktif semua taman awam di bawah jagaannya untuk menjalanka­n kerja-kerja pembesaran dan naik taraf bagi menyediaka­n kemudahan yang lebih baik untuk rakyat.

“Tahun lalu, kami telah menaik taraf Taman Kenyalang. Tahun ini, kami akan memberi tumpuan untuk menaik taraf yang di Taman Hui Sing. Sudah tentu kami tidak melupakan tamantaman lain,” katanya.

Tambahnya, MBKS juga akan membida dana persekutua­n untuk melaksanak­an kerja-kerja menaik taraf taman awam di kawasannya.

Wee berkata, adalah penting untuk melihat taman awam dilengkapi dengan tandas awam, sambil menambah penggunaan taman ini tidak seharusnya terhad kepada komuniti berhampira­n.

“Kami berharap semua orang akan menggunaka­n taman awam kami dengan baik kerana ia adalah milik kita bersama,” katanya.

 ?? ?? TRADISI: Dr Sim (lima kiri), Wee (empat kiri) dan yang lain menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik majlis itu.
TRADISI: Dr Sim (lima kiri), Wee (empat kiri) dan yang lain menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik majlis itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia