Utusan Borneo (Sarawak)

Krisis kecederaan pemain punca kegagalan Man Utd musim ini: Ten Hag

-

Erik ten Hag percaya dia mungkin boleh menang sehingga tiga suku dari 100 perlawanan pertama di Manchester United jika tidak kerana krisis kecederaan yang menurutnya tiada pasukan dapat hadapi.

Pengurus dari Belanda, yang bergelut dalam musim keduanya di Old Trafford, tewas 1-3 kepada kelab jiran yang juga juara bertahan Liga Perdana Inggeris, Manchester City minggu lepas ketika dia bercakap tentang perlawanan ke-100 sebagai pengurus United.

Ten Hag terpaksa menurunkan beberapa pemain tidak berpengala­man ketika menentang City dan United sekali lagi beraksi tanpa beberapa pemain utama pada perlawanan lewat menentang kelab tercorot, Everton.

Marcus Rashford dan Jonny Evans difahamkan lulus ujian kecergasan selepas perlawanan menentang City tetapi Omari Forson sudah menyertai senarai pemain yang cedera.

Ten Hag memenangi kejuaraan Piala Liga Inggeris pada musim pertamanya di Old Trafford dan membimbing pasukannya ke tangga ketiga liga dan layak ke Liga Juara-Juara namun pasukannya ketika ini berada di tangga keenam liga, 11 mata di belakang pasukan di tangga keempat, slot kelayakan terakhir ke Liga Juara-Juara iaitu Aston Villa dengan berbaki 11 perlawanan sahaja lagi musim ini.

Kekalahan pada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Liverpool minggu hadapan akan menamatkan peluang terakhir United untuk memenangi sebarang kejuaraan musim ini.

Kecederaan memainkan peranan besar dan tanpa masalah seperti itu, Ten Hag percaya dia boleh menang lebih banyak berbanding hanya 61 dari 100 perlawanan pertamanya.

“Ia memberitah­u bahawa kami bergerak ke arah yang betul,” kata Ten Hag pada Jumaat ketika bercakap tentang purata kemenangan­nya.

“Jadi, bayangkan jika kami dapat menurunkan lebih ramai pemain utama, tidak dengan kecederaan yang begitu banyak, kami mungkin boleh menang 70 atau 75 perlawanan dan ia memberitah­u masa depan pasukan ini apabila pemain dapat diturunkan.

“Kerana jika anda membuat perbanding­an, anda membanding­kannya dengan pengurus lain atau pasukan lain yang dalam proses membina pasukan atau dari bekas pengurus di kelab besar ini, maka anda boleh melihat ada masa depan yang cerah di sini.

“Juga, saya fikir ada keseimbang­an yang baik dalam usia skuad ini, dengan pemain muda, pemain pertengaha­n usia dan pemain berpengala­man.

“Bayangkan jika mereka dapat diturunkan. Seperti yang saya katakan, kami boleh menang 75 daripada 100 perlawanan dan ia adalah satu perbezaan yang besar.”

Lisandro Martinez, Anthony Martial, Luke Shaw dan Tyrell Malacia adalah antara pemain utama yang tidak dapat beraksi ketika ini, jelas mengurangk­an kekuatan dalaman skuad.

“Tiada pasukan boleh berdepan masalah ini, dengan begitu banyak kecederaan,” kata Ten Hag. “Saya fikir kami bermain di tahap maksima jika anda mengambil kira pemain yang dapat diturunkan.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia