Utusan Borneo (Sarawak)

Projek naik taraf Balai Raya JKKK Paku Ili dahului jadual siap dibina

-

Projek naik taraf Balai Raya Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Paku Ili, Ulu Undop Sri Aman oleh kontraktor Rawan Jaya Enterprise dengan peruntukan berjumlah RM100,000 mendahului jadual siap dibina.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembanguna­n Bakat Datuk Francis Harden Hollis menjelaska­n, projek naik taraf balai raya berkenaan adalah menggunaka­n peruntukan daripada Projek Transforma­si Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.

“Ya… peruntukan bagi menaik taraf balai raya berkenaan adalah daripada saya sendiri selaku wakil rakyat di Simanggang,” ujarnya semasa merasmikan Balai Raya Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Rumah Wiss, Paku Ili Undop, Sri Aman semalam.

Menurutnya, tarikh serahan tapak oleh agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman kepada pemaju projek adalah 11 September tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 21 November pada tahun yang sama.

“Kerja-kerja pelaksanaa­nnya adalah mendahului 1.5 bulan daripada jadual siap sepatutnya iaitu pada 10 Januari tahun ini,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang turut berterima kasih kepada JKKK berkenaan atas kerjasama yang diberikan dalam melaksanak­an pembanguna­n itu.

“Sebagai tanda syukur dan berterima kasih kepada pemberian projek daripada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), maka dengan itu JKKK ini telah menganjurk­an satu acara yang bersejarah iaitu acara simbolik merasmikan balai raya ini,” tambah Harden.

“Saya berpandang­an rakyat di kawasan Ulu Paku Undop dan kawasan Batu Lintang bernasib baik kerana telah mendapat keperluan asas infrastruk­tur yang lengkap seperti rangkaian jalan raya, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan projek pembanguna­n yang lain seperti projek pertanian.

“Semua projek tersebut untuk kemudahan rakyat yang disalurkan Kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutua­n melalui wakil rakyat GPS.

“Tuai rumah yang hadir mesti berkongsi maklumat tepat kepada rakyat di bawah jagaan agar mereka tidak berkongsi berita yang salah dalam media sosial,” tegasnya.

Dalam pada itu, mengulas peruntukan projek yang disalurkan ke kawasan Batu Lintang dan Ulu Paku, Harden menyenarai­kan projek besar seperti projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dari

Kampung Guntong ke seluruh perkampung­an Ulu Paku dan Batu Lintang dengan kos projek RM42 juta.

“Projek naik taraf Jalan Ulu Paku dari Simpang Kenyungan hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Paku, Undop dengan kos RM25 juta.

“Manakala, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dari Kampung Kaong, Undop untuk Rumah Gunuong, Kampung Samak dengan kos RM2 juta serta projek naik taraf system perparitan di pekan Batu Lintang dengan kos RM2 juta,” ujarnya.

Pada majlis tersebut Harden telah meluluskan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) bagi tahun 2024 kepada JKKK Kampung Paku Ili berjumlah RM10,000 untuk tujuan membuat ruang pejabat dan membina dapur JKKK Kampung Paku Ili, Undop, Sri Aman.

Hadir pada majlis tersebut ialah wakil Jurutera Bahagian JKR Sri Aman Mohamad Marzuk Latem, Ketua Polis Balai Batu Lintang Sarjan Mechael Nangkai Ngaoh, Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) Kaunselor Balean Suji Inggol serta Penghulu Mingging Sigan.

Kira-kira 150 orang tetamu hadir daripada kalangan penduduk rumah panjang kawasan Ulu Undop dan Batu Lintang termasuk 25 tuai rumah dari kawasan Batu Lintang Undop.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia