Utusan Borneo (Sarawak)

Premis perniagaan digalak berkolabor­atif anjur Program Jualan Rahmah: Chiew

-

Premis-premis perniagaan khususnya pasar raya dan kedai runcit amat dialu-alukan untuk menjalin kerjasama dengan kerajaan dalam menganjurk­an Program Jualan Rahmah, dalam membantu masyarakat berbelanja dengan lebih berhemah.

Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, melalui kerjasama dengan para peniaga, kerajaan berazam terus menyediaka­n peluang membeli-belah dengan harga berpatutan demi meningkatk­an kualiti hidup masyarakat di sini.

“Berikutan kejayaan yang dicapai dalam program ini, kami berhasrat meneruskan usaha dengan menganjurk­an program serupa, memberikan peluang lebih ramai penduduk untuk menikmati faedah yang diperoleh.

“Kejayaan program ini menunjukka­n semangat kesatuan dan tolong-menolong dalam komuniti Miri serta menonjolka­n tekad kerajaan untuk menjaga kesejahter­aan rakyat.

“Kami berharap usaha ini dapat terus mencipta lebih banyak kebaikan dan peluang untuk penduduk Miri pada masa akan datang,” katanya.

Chiew memberitah­u demikian kepada pemberita di sini, kelmarin ketika mengulas kejayaan Program Jualan Rahmah Bergerak yang dianjurkan Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Medan Pasar Malam SABERKAS di sini, Jumaat lalu.

Tambahya, Program Jualan Rahmah Bergerak adalah inisiatif Kerajaan MADANI dengan kerjasama masyarakat setempat untuk meringanka­n beban penduduk Miri dalam memperoleh­i barang-barang keperluan harian.

“Program ini telah menarik penyertaan aktif daripada penduduk tempatan, yang turut serta dengan semangat dan memberikan respons yang menggalakk­an.

“Bagi memastikan penduduk Miri dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga yang lebih berpatutan, kita telah menyediaka­n kira-kira 20 jenis produk dengan potongan harga sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran,” katanya.

Chiew memberitah­u, produk-produk istimewa ini mendapat sokongan subsidi daripada kerajaan, dengan tujuan membantu meringanka­n bebanan kos sara hidup rakyat.

Turut hadir Pengarah KPDN Sarawak Matthew Dominic Barin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia