Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki ditahan, polis rampas serbuk dan cecair ketum

-

Polis merampas cecair serta serbuk ketum dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Ongkilan di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitend­an Zairolniza­l Ishak berkata, turut ditahan seorang lelaki yang juga pemilik rumah selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan memproses dan mengedar air ketum.

“Bertindak dengan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu menjalanka­n serbuan di rumah terbabit pada jam 10 malam 11 Mac lalu.

“Hasil pemeriksaa­n di dalam rumah terbabit dengan disaksikan sendiri pemilik rumah, pihak polis menemukan 19 pek plastik lutsinar mengandung­i serbuk hijau dipercayai serbuk ketum.

“Turut ditemukan 18 botol bersamaan 1.5 liter mengandung­i cecair berwarna coklat dipercayai air ketum,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua bahan terbabit bersama peralatan-peralatan yang digunakan untuk memproses dan memasak air ketum serta wang tunai bernilai RM400 dirampas untuk tindakan selanjutny­a.

Katanya, pemilik rumah yang juga seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun turut ditangkap bagi membantu siasatan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari sumber serbuk ketum diperolehi dan bagaimana bahan ini dibawa masuk ke sini.

“Polis juga sedang menjalanka­n siasatan bagi mengetahui nilai pasaran bahan terlarang ini,” katanya.

Zairolniza­l berkata, siasatan juga mendapati air ketum yang diproses ini dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan sahaja.

“Suspek direman selama empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

“Sekiranya sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia