Utusan Borneo (Sarawak)

Rodri sahut cabaran dalam baki 10 perlawanan Man City

- MANCHESTER:

Rodri berkata Manchester City akan menyahut cabaran dalam baki 10 perlawanan mereka untuk memenangi kejuaraan Liga Perdana buat kali keempat berturut-turut untuk memecahkan rekod.

Keputusan seri 1-1 dalam perlawanan mendebarka­n di Anfield hujung minggu lalu telah meletakkan skuad kendalian Pep Guardiola di tempat ketiga tetapi hanya satu mata di belakang Arsenal, yang mendahului liga dengan perbezaan gol daripada Liverpool.

Perlawanan liga City seterusnya adalah menentang Arsenal pada penghujung bulan ini, dengan perlawanan mencabar menentang Aston Villa dan Tottenham semakin menghampir­i.

Keputusan seri Ahad lalu menandakan kali kedua pasukan Pep Guardiola kehilangan mata dalam liga sejak pertengaha­n Disember dan pemain tengah Sepanyol, Rodri yakin mereka boleh merangka satu lagi kemenangan.

“Kami memerlukan rehat. Kami ada perlawanan Piala FA (menentang Newcastle) dan kemudian bermain ke pasukan antarabang­sa jadi bagus untuk kami menyegarka­n diri semula dan memberikan usaha terakhir pada penghujung musim,” katanya.

“Kami tahu betapa bagusnya kami pada bahagian terakhir musim, kami hanya perlu mengecas bateri semula dan fokus pada 10 perlawanan terakhir.

“Nampaknya kami perlu menang sembilan atau 10 perlawanan untuk memenangi Liga Perdana ini. Inilah cabarannya dan kami akan meneruskan­nya.”

Rodri berkata pasukan pemenang tiga gelaran musim lalu itu tidak berada pada tahap terbaik ketika menentang Liverpool walaupun mendahului menerusi John Stones dan bermain lebih baik pada separuh masa pertama.

Liverpool membalas dengan kuat selepas rehat dan susulan penalti penyamaan Alex Mac Allister, tuan rumah kelihatan lebih berkemungk­inan besar untuk menang.

“Perlawanan yang luar biasa. Kami bermula dengan sangat baik dari segi peluang dan penguasaan dan saya fikir ia agak bagus. Separuh masa kedua menjadi separuh masa mereka,” kata pemain tengah City itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia