Utusan Borneo (Sarawak)

Curi kad ATM dan ‘paywave’, gadis dipenjara tujuh hari, denda RM500

-

Padah mencuri kad ATM rakan sekerja dan ‘paywave’ untuk membeli barangan keperluan asas, seorang gadis dipenjara tujuh hari dan didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret, semalam.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintah­kan Rielnie Qhuzilya Ahmad Zaini, 21, untuk dipenjara 10 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Rielnie dari Pusa dan tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa mencuri kad ATM milik rakan sekerja yang juga rakan seasramany­a (pengadu) ketika berada di asrama sebuah pasar raya besar di Jalan Bako, Petra Jaya di sini pada 5 Mac 2024.

Fakta kes mendedahka­n pengadu sekitar jam 4.25 petang pada hari kejadian menerima khidmat pesanan ringkas daripada bank miliknya yang memaklumka­n bahawa terdapat transaksi berjumlah RM163.40 dilakukan di pasar raya besar tersebut.

Berdasarka­n rekod kamera litar tertutup (CCTV), seorang staf pasar raya tersebut (Rielnie) dilihat telah melakukan transaksi menggunaka­n kad pengadu serta membuat pembayaran menerusi kaedah ‘paywave’.

Pengadu seterusnya membuat laporan polis dan ini membawa kepada penangkapa­n Rielnie di asrama tersebut pada 7 Mac 2024.

Turut dirampas daripada Rielnie adalah beberapa barangan keperluan asas iaitu sebungkus mi segera, dua peket sabun mandi, satu tin kari ayam, dua tin susu pekat dan lain-lain.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia