Utusan Borneo (Sarawak)

Polis tahan buruh kasar pecah masuk premis

-

KOTA KINABALU: Kegiatan seorang buruh kasar memecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik membawa padah selepas ditahan dalam satu serbuan di hadapan stesen minyak di Jalan Tugu, Kampung Air, di sini kira-kira jam 3.30 petang kelmarin.

Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner, Azmi Abdul Rahim berkata, dengan penahanan suspek berumur 28 tahun itu pihaknya berjaya menyelesai­kan dua kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik yang berlaku sekitar sini baru-baru ini.

Katanya, lelaki itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

“Laporan pertama diterima daripada sebuah stesen minyak di Batu 1, Jalan Tuaran, di sini yang dipecah masuk oleh individu tidak dikenali.

“Suspek melarikan barangbara­ng dalam premis berkenaan termasuk peti keselamata­n, telefon bimbit, rokok dan wang tunai.

“Hasil siasatan, pasukan serbuan D9 berjaya mengesan suspek dan menahannya kerana dipercayai terbabit dalam jenayah pecah rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kes pecah masuk stesen minyak di Jalan Tuaran.

“Barang-barang yang dicuri sudah dijual kepada beberapa individu, manakala pihak polis berjaya merampas beberapa barangan dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk jenayah pecah rumah.

“Siasatan lanjut mendapati suspek turut mengaku terbabit dalam kes pecah masuk kedai elektrik di Tenom.

“Pasukan serbuan kemudian menahan dan membawa suspek ke balai polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan kemungkina­n suspek turut terbabit dalam kes jenayah lain di negeri ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia